ANGKASA sedia bantu industri halal Vietnam
ANGKASA sedia bantu industri halal Vietnam
KUALA LUMPUR – Potensi industri halal tidak hanya berlegar dalam kitaran negara majoriti Islam semata-mata.
Menyedari peluang untuk meneroka pasaran halal merentasi model perniagaan sedia ada, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memberi komitmen untuk membantu Halal Vietnam menerusi gerakan koperasi.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah menyatakan perkara itu ketika pertemuan bersama Halal Vietnam yang diketuai Pengerusinya, Abbas Mieu Abdullah.
“Potensi besar dalam industri halal di Vietnam tidak boleh dinafikan, terutama di Hanoi dan Ho Chi Minh yang mempunyai ramai penduduk muslim.
“Jadi perbincangan awal sudah dimulakan melalui pertemuan ANGKASA dan wakil Halal Vietnam.
“Kita akan melihat kepada peluang dan keperluan untuk ANGKASA membantu gerakan koperasi di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Abbas dan delegasi Halal Vietnam.
Turut hadir pada pertemuan itu adalah Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Pembangunan Koperasi ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail.
Pertemuan antara Abdul Fattah dan Abbas itu adalah susulan Program Pengenalan Model Koperasi Masjid di Ho Chi Minh pada Mei lalu.
Melalui program itu, sebuah koperasi – Koperasi Ar-Rahman Vietnam – dikelolakan Halal Vietnam berjaya ditubuhkan.
Halal Vietnam dalam masa yang sama turut menyatakan minat untuk mempelajari modul perniagaan koperasi yang diperkenalkan ANGKASA untuk dijadikan rujukan.-SAHIH