ANGGOTA POLIS DIUPAH BAWA DADAH MASUK KE LOKAP
JOHOR BAHRU: Anggota polis yang ditahan bersekongkol menyeludup dadah ke dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, dikesan menerima upah di antara RM50 hingga RM1,500 bagi setiap penghantaran.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kegiatan itu dipercayai bermula sejak awal November lalu.
“Mereka bersekongkol dengan pihak luar seperti dalam kes ini anak perempuan ‘Datuk Ajim’ ini yang bawa (dadah) dan beri kepada anggota lokap.
“Kemudian anggota ini yang akan bawa serah kepada mereka (banduan). Anggota yang membawa dadah ke dalam lokap akan dibayar.
“Suspek pertama anggota polis dibayar 1,500; seorang lagi anggota dibayar RM500, manakala anggota polis wanita dibayar RM50.
“Bayaran mengikut pakej (dadah) yang masuk. Bayaran dibuat untuk sekali penghantaran,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Johor, di sini, hari ini, seperti yang dilaporkan BH online.
Ayob Khan berkata, siasatan di dalam lokap IPD terbabit mendapati, sebuah sel lokap di situ yang dijadikan tempat menghisap dadah.
“Dalam lokap IPD ini, ada satu sel yang dijadikan ‘port’ (tempat) khas untuk menghisap dadah.
“Ini tangkapan pertama. Kejadian mungkin banyak kali tapi tidak dapat dikesan, tiada pemantauan, tiada penyeliaan, mungkin tindakan tidak diambil dan cuba melindungi,” katanya.
Beliau berkata, tiada sebarang perlindungan akan diberikan kepada mana-mana pihak yang terbabit dengan perbuatan jenayah itu, sebaliknya tindakan tegas akan diambil terhadap mereka.