AMERIKA TUDUH CHINA TAHAN MAKLUMAT ASAL USUL COVID-19
AMERIKA TUDUH CHINA TAHAN MAKLUMAT ASAL USUL COVID-19
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menuduh China menahan ‘maklumat penting’ berhubung asal usul Covid-19.
Beliau berkata demikian selepas risikan merumuskan Covid-19 bukan virus yang dibangunkan sebagai senjata biologi, namun masih berbeza pendapat sama ada virus itu terlepas daripada sebuah makmal.
AS bagaimanapun tidak percaya pegawai China mempunyai pengetahuan awal mengenai virus tersebut sebelum pandemik berkenaan tercetus dan kini meragut lebih 4.5 juta nyawa.
“Maklumat penting mengenai asal usul pandemik ini ada di China. Namun dari awal lagi, pegawai pemerintah di China berusaha menghalang penyiasat antarabangsa dan anggota masyarakat kesihatan awam global daripada mengaksesnya.
“Hingga ke hari ini, China masih terus menahan maklumat dan menolak desakan untuk telus, meskipun jumlah kematian akibat pandemik ini terus meningkat,” kata Presiden dalam satu kenyataan,lapor AFP
Biden menegaskan, AS bersama sekutunya akan terus memberi tekanan ke atas Beijing supaya berkongsi lebih banyak maklumat serta bekerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).