PGA9 SERBU RUMAH JADI GUDANG BERAS SELUDUP
PGA9 SERBU KEDIAMAN JADI GUDANG BERAS SELUDUP
TANAH MERAH: Beras seludup yang bernilai RM34,732 di Kampung Lalang Pepuyu, di sini, kelmarin diserbu oleh Pasukan Gerakan Am (PGA9).
Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata dalam kejadian jam 11 tengah hari itu, anggota bertugas membuat serbuan ke rumah berkenaan selepas membuat risikan dibuat.
Jelasnya, sampai ke lokasi, rumah terbabit tidak berkunci selain anggota menemui longgokan guni putih berisi beras ditempatkan di satu bahagian kediaman itu.
“Selepas anggota menunggu selama 30 minit, tidak ada yang datang menuntut kesemua beras ini.
Anggota kemudian merampas kesemuanya dan dibawa ke KOMTAK Taman Bakti, di sini, untuk pengiraan menyeluruh.
“Barang rampasan terbabit diserahkan ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KSPBN) 1994,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Nor Azizan berkata, siasatan awal mendapati kesemua beras ini berkemungkinan dibawa melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, sebelum disimpan di rumah itu.
“Kediaman terbabit dijadikan lokasi transit sebelum beras-beras ini dipercayai diedarkan untuk pasaran seluruh Kelantan.
“Pihak kami terus mengetatkan kawalan sempadan melalui Op Benteng COVID-19 bagi mengekang penyeludupan di sempadan Malaysia-Thailand,” katanya.