5 SELEBRITI DIPANGGIL SPRM
5 SELEBRITI DIPANGGIL OLEH SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, hari ini memanggil lima individu terdiri daripada pengacara popular, pelakon dan penyanyi diambil keterangan.
Kelima-lima mereka termasuk seorang selebriti dan bekas isterinya dipanggil bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dua individu dikenali sebagai Addy Kanna dan Alvin Goh yang sebelum ini disiasat dan ditahan reman oleh SPRM.
Melalui sumber, ada antara lima individu terbabit dipanggil sejak bulan lalu dan menghadirkan diri ke Ibu Pejabat SPRM petang tadi.
“Kesemua individu terbabit hadir mulai jam 12 tengah hari sehingga 2 petang tadi dan ada yang masih dirakam percakapan.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi membolehkan pihak SPRM mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai aktiviti pengubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi, malam ini.
Sumber menyatakan salah seorang dari mereka juga adalah selebriti yang sebelum ini pernah dipanggil pada 2 Oktober lalu.
Dalam pendedahan sebelum ini, petikan BH melaporkan, dalang utama sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian dari China, menggunakan ejen di Malaysia untuk menguruskan pelaburan termasuk mencari perniagaan berpotensi sebagai platform membersihkan wang hasil penipuan.
Ejen sindiket akan mendekati selebriti tanah air dan menyatakan minat melabur dalam perniagaan atau menyuntik modal untuk selebriti berkenaan memulakan perniagaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki sebelum ini dilaporkan meminta semua selebriti dan ahli perniagaan yang terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram untuk tampil ke hadapan bagi membantu siasatan.
Susulan itu, seorang selebriti bersama isterinya yang juga seorang artis serta seorang usahawan kosmetik dipanggil oleh SPRM membantu siasatan berhubung pengubahan wang haram.