AGC belum terima rujukan rasmi isu Mohd Shuhaily
AGC belum terima rujukan rasmi isu Mohd Shuhaily
Kota Bharu: Jabatan Peguam Negara (AGC) belum menerima sebarang rujukan rasmi daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung urusan penugasan semula Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, AGC hanya berperanan memberikan pandangan dari sudut perundangan, manakala keputusan berhubung kedudukan Mohd Shuhaily adalah urusan pentadbiran KDN.
Beliau berkata, Mohd Shuhaily pada hakikatnya adalah pegawai polis sebelum dipinjamkan atau dikontrakkan untuk berkhidmat di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).
“Kami belum memberikan pandangan secara rasmi kerana perkara itu belum dirujuk kepada AGC.
“Ia adalah tindakan pentadbiran KDN dan sama ada Datuk Mohd Shuhaily mahu kekal di situ atau ditukarkan semula ke PDRM, kami tidak campur tangan kerana perkara itu lebih kepada urusan pentadbiran,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penyerahan Prasarana Rekreasi KAM AGC 2026 di Taman Pinggiran Warisan, Kampung Kok Lanas, di sini, hari ini.
Pada Khamis lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Mohd Shuhaily akan kembali bertugas dengan PDRM susulan keputusan dibuat kementerian berkenaan minggu lalu.
Sementara itu, mengulas cadangan pengasingan peranan Pendakwa Raya dan Peguam Negara, Mohd Dusuki berkata, AGC sedang merangka satu peruntukan berkaitan kaedah pemilihan calon bagi jawatan berkenaan.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberikan tempoh dua minggu kepada AGC untuk memperincikan maklum balas berhubung cadangan pengasingan kedua-dua peranan itu.
Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) dijadual bermesyuarat semula selepas menerima pandangan berhubung perkara berkenaan.-SAHIH
#AGC #MohdShuhaily #PDRM #KDN
