80 tempat masih kosong, orang ramai diajak sertai program banteras gangguan seksual
80 tempat masih kosong, orang ramai diajak sertai program banteras gangguan seksual
TEMERLOH: Orang ramai khususnya masyarakat di daerah ini dipelawa menyertai Program Advokasi Antigangguan Seksual dan Latihan Pemantapan Skuad Waja 2026 yang bakal berlangsung pada 4 November depan.
Program bertemakan ‘Cakna Sentuhan Selamat: Banteras Gangguan Seksual dan Perkasakan Komuniti’ itu dianjurkan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Pahang dengan kerjasama Kelab Sukan Senamseni Kebudayaan Temerloh dan Sekretariat Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Temerloh.
Ketua Sekretariat Gabungan NGO Temerloh, Rosyatina Wahab berkata, program berkenaan menyasarkan penyertaan 250 orang dalam kalangan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual serta langkah pencegahannya.
Menurutnya, setakat ini masih terdapat 80 kekosongan dan orang ramai yang berminat digalakkan membuat pendaftaran segera bagi memastikan mereka tidak terlepas peluang menyertai program berkenaan.
“Program ini bukan sahaja memberi pendedahan mengenai isu gangguan seksual, malah membantu masyarakat memahami hak dan tindakan sewajarnya sekiranya berdepan situasi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, program yang berlangsung di Dewan Tan Sri Sabaruddin Chik, Hotel Apsara, Temerloh itu akan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.
Katanya, pelbagai pengisian bermanfaat disediakan termasuk sesi penerangan berkaitan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) serta latihan pemantapan Skuad Waja bagi memperkukuh usaha advokasi, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
Selain itu, program berkenaan turut menampilkan tiga penceramah yang akan berkongsi pengetahuan serta meningkatkan kefahaman peserta mengenai kepentingan mewujudkan persekitaran selamat daripada gangguan seksual.
Rosyatina berkata, peserta turut disediakan makanan dan minuman, cenderahati (goodies) serta berpeluang menyertai cabutan bertuah sepanjang program berlangsung.
Beliau berharap kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan NGO tempatan itu dapat memperkukuh kesedaran masyarakat, sekali gus membentuk komuniti yang lebih prihatin terhadap keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran secara manual dengan menghubungi Rosyatina di talian 019-932 4947.-SAHIH
#Temerloh #AntigangguanSeksual #SkuadWaja #NGOTemerloh
