ANGKASA diiktiraf rakan antarabangsa terbaik sokong zakat di Indonesia
ANGKASA diiktiraf rakan antarabangsa terbaik sokong zakat di Indonesia
JAKARTA: Sumbangan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam membantu meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan di Indonesia mendapat pengiktirafan apabila menerima anugerah Rakan Antarabangsa Pendukung Zakat Terbaik.
Pengiktirafan itu diberikan Badan Amil Zakat Nasional (BAZNAS) Republik Indonesia pada majlis Grand BAZNAS Awards 2026 yang berlangsung di sini, Khamis lalu.
Anugerah berkenaan diberikan sebagai menghargai komitmen ANGKASA dalam menyokong pelbagai program pemerkasaan ekonomi masyarakat dan bantuan kemanusiaan, khususnya kepada golongan asnaf di negara berkenaan.
Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah diwakili Faizul Dato Hanapi dari ASEAN Co-operative Organization (ACO) ANGKASA untuk menerima pengiktirafan itu.
Faizul berkata, anugerah berkenaan menjadi dorongan kepada ANGKASA untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dengan BAZNAS dalam usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Terima kasih kepada BAZNAS atas penghargaan yang diberikan. Semoga BAZNAS terus berkembang dan dapat memperluas peranannya ke pelbagai wilayah, begitu juga dengan ANGKASA,” katanya.
Menurutnya, hubungan baik antara kedua-dua organisasi perlu terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program yang memberi manfaat secara langsung kepada golongan memerlukan.
Katanya, antara potensi kerjasama yang boleh diteroka ialah pembangunan ekonomi berasaskan masjid bagi menjadikan institusi berkenaan sebagai pusat kegiatan ekonomi masyarakat.
“Masjid yang terdapat di pelbagai wilayah Indonesia mempunyai potensi besar untuk dibangunkan sebagai pusat pemerkasaan ekonomi umat.
“Melalui kerjasama berterusan, potensi itu boleh dimanfaatkan bagi membantu masyarakat mencapai kemandirian ekonomi,” katanya.
Faizul turut berharap mekanisme kerjasama yang lebih tersusun dapat diwujudkan bagi memastikan hubungan ANGKASA dan BAZNAS terus berkembang.
Beliau berkata, kerjasama rentas negara itu bukan sahaja dapat memperkukuh pengurusan zakat, malah membuka peluang melaksanakan lebih banyak program pembangunan ekonomi dan kebajikan masyarakat.
Pengiktirafan kepada ANGKASA pada Grand BAZNAS Awards 2026 turut mencerminkan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam memperluas manfaat zakat kepada golongan yang memerlukan.-SAHIH
#ANGKASA #BAZNAS #Zakat #KoperasiMalaysia
