Kerjasama Malaysia-China buka ribuan peluang latihan TVET
Kerjasama Malaysia-China buka ribuan peluang latihan TVET
TIANJIN: Kerjasama Malaysia dan China dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terus membuka peluang kepada rakyat negara ini menguasai kemahiran baharu, termasuk teknologi tinggi yang semakin mendapat permintaan industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama kedua-dua negara menyediakan 5,125 peluang latihan pada 2024 dan 2,500 lagi tahun ini, selain sumbangan peralatan termasuk kenderaan elektrik untuk kegunaan latihan amali.
Katanya, pencapaian berkenaan bukan sekadar membabitkan jumlah penyertaan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan kemahiran, peluang kerjaya lebih baik dan kehidupan berkualiti kepada golongan muda.
“Apa yang paling penting bagi saya ialah makna sebenar pencapaian ini kepada golongan muda, iaitu kemahiran baharu, kerjaya lebih kukuh dan kehidupan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 di sini, pada Jumaat.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, pembangunan TVET negara kini memasuki fasa baharu menerusi TVET Berteknologi Tinggi (Hi-TVET) yang memberi tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan semikonduktor.
Menurutnya, penyertaan dalam bidang TVET meningkat lebih 33 peratus antara 2020 hingga 2025, manakala hampir 57 peratus lepasan sekolah yang melanjutkan pengajian memilih bidang berkenaan pada tahun lalu.
“Kadar kebolehpasaran graduan TVET pula mencecah hampir 96 peratus, sekali gus menunjukkan potensi besar bidang ini dalam memenuhi keperluan industri,” katanya.
Mengambil projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sebagai contoh, beliau berkata, seramai 208 rakyat Malaysia berjaya menamatkan latihan pengoperasian kereta api di China tahun ini bagi membangunkan kepakaran tempatan dalam operasi dan penyelenggaraan.
Katanya, Perikatan Industri-Pendidikan Malaysia-China turut mengumumkan inisiatif bernilai kira-kira 49 juta yuan merangkumi 1,000 biasiswa dan 2,000 peluang latihan.
Sementara itu, Institut Malaysia-China di Bagan Datuk mampu menampung 2,000 pelajar dalam 18 bidang keutamaan, selain menyokong pembangunan kurikulum bersama, latihan tenaga pengajar dan pemindahan teknologi.-SAHIH
#TVET #MalaysiaChina #AhmadZahidHamidi #HiTVET
