Malaysia cadang tubuh Majlis TVET Dunia, China jadi tuan rumah tetap
Malaysia cadang tubuh Majlis TVET Dunia, China jadi tuan rumah tetap
TIANJIN: Malaysia mencadangkan penubuhan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Dunia dengan China sebagai tuan rumah tetap bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan kemahiran dan tenaga kerja.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu bertujuan mewujudkan platform global yang berkekalan bagi memperluas perkongsian kepakaran, kemajuan teknologi dan latihan kemahiran antara negara.
Katanya, penubuhan majlis berkenaan juga diharap dapat memperkukuh piawaian latihan di peringkat antarabangsa tanpa mengetepikan keutamaan serta kepentingan setiap negara.
“Saya berharap semua delegasi bersetuju dengan cadangan Malaysia ini dan mereka yang menyokongnya dapat menghulurkan kerjasama kepada China,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pembangunan Pendidikan Teknikal dan Vokasional Sedunia 2026 di sini, semalam.
Ahmad Zahid berkata, Malaysia turut mengalu-alukan cadangan Kerangka Standard Pendidikan Teknikal dan Vokasional Dunia atau Perjanjian Beijing bagi meningkatkan kualiti latihan serta memperkukuh kerjasama antarabangsa.
Menurutnya, hubungan erat Malaysia dan China dalam bidang TVET membuktikan kerjasama diplomatik mampu diterjemahkan kepada peluang pembangunan kemahiran serta prospek pekerjaan lebih baik, khususnya kepada golongan belia.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, agenda pembangunan TVET di Malaysia ketika ini membabitkan 12 kementerian dan 1,398 institusi di seluruh negara.
Katanya, kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi menerusi inisiatif TVET Berteknologi Tinggi (Hi-TVET) bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
“Inisiatif Hi-TVET memberi tumpuan kepada bidang teknologi tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), robotik, automasi dan semikonduktor,” katanya.
Menurutnya, kerjasama lebih erat antara institusi latihan, pihak industri dan rakan antarabangsa penting bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi perubahan keperluan ekonomi global.-SAHIH
#TVET #AhmadZahidHamidi #MalaysiaChina #HiTVET
