Remaja didakwa bunuh Irene Sofiya, tidak dibenar ikat jamin
Remaja didakwa bunuh Irene Sofiya, tidak dibenar ikat jamin
BATU PAHAT: Remaja lelaki berusia 16 tahun yang didakwa membunuh rakan sekelasnya, Irene Sofiya Khairol Faisal, 16, di sebuah sekolah di Yong Peng, awal bulan ini tidak dibenarkan diikat jamin.
Peguam tertuduh, Muhd Azlan Shah Mohd Allias berkata, anak guamnya berada dalam keadaan sihat dan akan ditempatkan berasingan daripada tahanan dewasa sepanjang tempoh tahanan.
“Setakat ini okey, tak ada masalah, sihat. Cuma kanak-kanak ini sekarang tidak dibenarkan jamin kerana membabitkan Seksyen 302.
“Dia akan ditempatkan di bahagian berasingan dan tidak akan dicampurkan dengan pesalah atau tahanan reman dewasa. Itu prosedurnya,” katanya.
Terdahulu, remaja terbabit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh Irene Sofiya di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Seth, Yong Peng pada 3 Oktober lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menyebabkan kematian mangsa antara jam 2.30 petang hingga 4 petang pada tarikh berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Juanita Mohd Said dan Firdaus Ruslan, manakala tertuduh diwakili Muhd Azlan Shah serta Suhaila Shafi’uddin.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan bagi sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Yong Peng sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Muhd Azlan berkata, prosiding dijalankan secara tertutup kerana membabitkan tertuduh bawah umur.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau membuat spekulasi berhubung kes berkenaan di media sosial.
Katanya, keluarga tertuduh berharap semua pihak menghormati proses undang-undang dan prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Pihak pembelaan juga tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan dakwaan tidak berasas.
Pada 3 Oktober lalu, Irene Sofiya ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di dewan sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.
Polis sebelum ini memaklumkan perasaan dendam termasuk dipercayai akibat penolakan cinta menjadi antara kemungkinan motif kejadian.-SAHIH
#IreneSofiya #KesBunuh #BatuPahat #Mahkamah
