Tiada lagi mahasiswa berlapar, Dapur Siswa diperluas
Tiada lagi mahasiswa berlapar, Dapur Siswa diperluas
Tanjung Malim : Masalah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terpaksa menahan lapar akibat kesempitan kewangan diharap dapat dinoktahkan menerusi peluasan Program Dapur Siswa MADANI yang diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, peningkatan peruntukan bagi program itu membuktikan komitmen kerajaan memastikan kebajikan pelajar, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, terus terbela.
Katanya, kerajaan mahu memastikan tiada pelajar terganggu pengajian hanya kerana berdepan kesukaran mendapatkan keperluan asas termasuk makanan.
“Dasar kita adalah nak pastikan supaya setiap pelajar yang ada di sana dapat terus belajar tanpa sebarang gangguan atau masalah yang berkaitan keperluan asas harian, termasuk soal makan,” katanya.
Zambry berkata, kerajaan tidak menetapkan sasaran khusus jumlah penerima bantuan kerana keutamaan diberikan kepada usaha memastikan setiap pelajar yang memerlukan mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Menurutnya, beliau sendiri turun padang melawat universiti bagi meninjau keadaan serta persediaan pihak pengurusan dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa terjamin.
“Sebab itu saya turun ke bawah, melihat dan melawat sendiri keadaan serta persediaan yang dibuat di setiap universiti bagi memastikan keperluan pelajar dipenuhi.
“Kita juga datang daripada keluarga yang susah dahulu, jadi kita pernah mengalami suasana itu,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa memberikan perhatian terhadap kebajikan mahasiswa di seluruh negara.
“Alhamdulillah, mereka tidak akan berlapar lagi. Datanglah untuk mendapatkan bantuan.
“Kita harap masalah pelajar berlapar ini dapat diselesaikan menerusi inisiatif ini,” katanya.
Pada 9 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan peluasan Program Dapur Siswa MADANI ke semua politeknik dan IPT di seluruh negara menerusi peruntukan RM20 juta.
Kerajaan turut menyediakan insentif potongan cukai kepada individu serta syarikat korporat yang menyumbangkan bahan makanan dan peralatan bagi menjayakan program berkenaan.-SAHIH
#DapurSiswa #Belanjawan2027 #Mahasiswa #KPT
