Sumud Protocol satukan gerakan pembebasan Palestin dari 43 negara
Sumud Protocol satukan gerakan pembebasan Palestin dari 43 negara
KUALA LUMPUR: Penyertaan 250 delegasi dari 43 negara dalam Kongres Sumud Global 2026 menjadi platform penting bagi menyatukan gerakan solidariti antarabangsa menerusi kerangka baharu dikenali sebagai ‘Sumud Protocol’.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby berkata, kerangka itu diharap mampu menarik penyertaan lebih ramai rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa dalam memperkukuh usaha pembebasan Palestin.
Katanya, Sumud Protocol bukan sekadar lambang solidariti, sebaliknya menjadi panduan kepada tindakan lebih tersusun membabitkan pelbagai pihak termasuk media, mahasiswa, pertubuhan masyarakat sivil dan ahli politik merentas parti.
“Apa yang dilakukan hari ini adalah kemuncak kepada susun atur baharu dengan 250 delegasi dari 43 negara hadir berkampung di Kuala Lumpur.
“Kita menjadi tuan rumah untuk melihat bagaimana tindakan dan gelombang ini dapat diletakkan dalam satu kerangka yang dinamakan Sumud Protocol,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Sumud Nusantara bersempena Kongres Sumud Global 2026, Selasa lalu.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Penaung Gerakan Sumud Nusantara merasmikan majlis berkenaan sebelum melancarkan kerangka Sumud Protocol.
Sani Araby berkata, inisiatif itu merupakan kesinambungan gerakan Sumud Nusantara dan Global Sumud Flotilla (GSF) dalam meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap penderitaan rakyat Palestin.
“Insya-Allah, ini adalah agenda nasional yang perlu disambut semua kementerian, ahli Parlimen serta seluruh lapisan masyarakat kerana kita tidak akan berputus asa,” katanya.
Menurutnya, protokol itu menggariskan lima jalur utama iaitu penerbitan filem (motion picture), tindakan ahli Parlimen, gerakan masyarakat sivil dan belia, flotila ke Gaza serta penganjuran Kongres Sumud Global.
Kongres berkenaan turut memeterai Resolusi Asas Gerakan Global Sumud yang menetapkan lima teras strategik merangkumi akauntabiliti dan keadilan, hak menentukan nasib sendiri rakyat Palestin, solidariti kemanusiaan, pendidikan serta advokasi dan kerjasama strategik antarabangsa.-SAHIH
#SumudProtocol #Palestin #MAPIM #KongresSumudGlobal
