‘Teratak Gemilang’ lambang cinta Halikin kepada negara
‘Teratak Gemilang’ lambang cinta Halikin kepada negara
SANDAKAN: Lebih dua dekad sebuah rumah kayu di Batu 15, Jalan Labuk, di sini, tampil mencuri perhatian apabila keseluruhan kediamannya dihiasi warna Jalur Gemilang sebagai tanda kecintaan pemiliknya terhadap negara.
Kediaman milik Mohd Halikin Angga yang dikenali sebagai ‘Teratak Gemilang’ bukan sahaja tampil dengan warna merah, putih, biru dan kuning, malah turut menyimpan koleksi potret bersejarah pemimpin negara.
Dengan menggunakan wang serta kudrat sendiri, Mohd Halikin mengecat rumah berkenaan sedikit demi sedikit sehingga menjadi antara tarikan unik di kawasan itu.
Katanya, idea mengecat rumah dengan warna serta lambang Jalur Gemilang tercetus pada 2004 kerana mahu semangat kemerdekaan terus dapat dilihat sepanjang tahun, terutama oleh generasi akan datang.

“Selepas bulan kemerdekaan selesai, bendera akan dipungut dan disimpan. Jadi saya terfikir bagaimana mahu mengekalkan bendera itu supaya sentiasa dapat dilihat generasi akan datang.
“Saya kemudian mengecat rumah ini, daripada dinding asal berwarna putih kepada jalur merah dan putih serta meletakkan bulan dan bintang di bahagian bumbung,” katanya.
Mohd Halikin berkata, kecintaannya terhadap negara turut didorong penghargaan kepada ibu bapanya yang pernah melalui zaman penjajahan.
Bumbung Teratak Gemilang dicat biru pekat dengan lambang bulan sabit serta bintang 14 bucu berwarna kuning keemasan, manakala dinding rumah dihiasi jalur merah dan putih.
Di ruang tamu pula, pengunjung dapat melihat galeri mini menempatkan potret rasmi Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri Sabah serta barisan Perdana Menteri daripada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hingga kepimpinan terkini.
Antara koleksi paling bermakna baginya ialah foto pertemuan Tunku Abdul Rahman bersama 20 pemimpin Borneo Utara pada 1961 berkaitan rancangan pembentukan Persekutuan Malaysia.
Foto itu ditemuinya secara tidak sengaja menerusi keratan akhbar ketika dalam penerbangan untuk menunaikan umrah pada 2005 sebelum meminta izin kru kabin untuk menyimpannya dan kemudian membingkaikannya.

Semangat patriotiknya turut diterjemahkan menerusi nama tiga daripada tujuh anaknya yang diambil sempena tokoh negara termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Raja Permaisuri Agong.
Selepas lebih 20 tahun, Teratak Gemilang terus menjadi lokasi persinggahan orang ramai untuk bergambar, terutama sepanjang Bulan Kebangsaan.
Mohd Halikin berkata, beliau tidak bercadang menukar warna rumah itu dan berharap kediamannya terus menjadi inspirasi dalam menyemarakkan semangat patriotisme serta perpaduan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Teratak Gemilang, Mohd Halikin Angga, Sandakan, Sabah, Jalur Gemilang, Hari Kebangsaan 2026, Hari Malaysia 2026, patriotisme, kemerdekaan
