25,000 pelari meriahkan Malaysia Marathon 2026
25,000 pelari meriahkan Malaysia Marathon 2026
KUALA LUMPUR: Lautan manusia memenuhi sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) apabila ribuan peserta mengambil bahagian dalam Malaysia Marathon 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Kemuncak kemeriahan menyaksikan seramai 10,000 peserta menyertai kategori Larian Ria sejauh lima kilometer yang dilepaskan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing serta Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Sebelum pelepasan peserta, suasana dimeriahkan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku selain persembahan Pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara tarikan utama program ialah perarakan Jalur Gemilang sepanjang satu kilometer yang dibawa 1,000 pelajar Kolej Poly-Tech MARA Bangi.
Malaysia Marathon 2026 yang julung kali dianjurkan dan mendapat pengiktirafan World Athletics berjaya menghimpunkan keseluruhan 25,000 pelari tempatan serta antarabangsa dalam empat kategori.
Saingan dimulakan dengan kategori maraton penuh sejauh 42 kilometer yang dilepaskan Tiong di Pavilion Kuala Lumpur, membabitkan 2,000 peserta.
Ia kemudian disusuli acara separuh maraton 21 kilometer yang disertai 8,000 pelari, manakala kategori 10 kilometer membabitkan 5,000 peserta.
Kategori Larian Ria lima kilometer pula mencatat penyertaan tertinggi dengan 10,000 peserta.
Berbeza daripada kebiasaan, pekarangan KLCC dipilih sebagai lokasi garisan penamat bagi semua kategori pada edisi kali ini, menggantikan Dataran Merdeka yang sebelum ini menjadi lokasi penamat.
Penganjuran kejohanan itu bukan sahaja menghimpunkan komuniti pelari dari dalam dan luar negara, malah turut menyemarakkan semangat Hari Kebangsaan menerusi pelbagai elemen patriotik sepanjang acara berlangsung.
#kw: Malaysia Marathon 2026, Ahmad Zahid Hamidi, Hari Kebangsaan, KLCC, World Athletics, Tiong King Sing, Ahmad Maslan, Larian Ria, Jalur Gemilang
