Sembilan jam disangka terkorban di Bosnia
Sembilan jam disangka terkorban di Bosnia
KUALA LUMPUR: Dentuman mortar, runtuhan menara pemerhati dan sembilan jam terputus hubungan dengan markas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi antara pengalaman yang tidak pernah terpadam dalam ingatan Kolonel (B) Mohd Yasin Usop ketika bertugas di Bosnia-Herzegovina lebih tiga dekad lalu.
Pengalaman menyaksikan sendiri kemusnahan akibat peperangan antara Croatia, Serbia dan Bosnia-Herzegovina pada 1994 mengubah pandangannya terhadap erti keamanan serta perpaduan yang dinikmati rakyat Malaysia.
Mohd Yasin yang ketika itu bertugas sebagai pegawai pemerhati PBB berkata, rakyat negara ini perlu menghargai kehidupan aman tanpa konflik bersenjata.
“Kita di Malaysia hidup dalam aman damai, kita berjiran keliling tak ada masalah.
“Kita sebagai sebuah negara merdeka yang terdiri daripada berbilang kaum, bangsa dan agama, kita kena jaga semua ini supaya kita boleh hidup aman damai,” katanya.

Antara pengalaman paling getir ditempuhinya ialah ketika diserang mortar di Petrovo Selo, bahagian barat Bihac Pocket.
Dalam kejadian itu, beliau terputus hubungan dengan markas PBB selama sembilan jam sehingga pihak markas menyangkanya sudah terkorban.
Beliau akhirnya diselamatkan pasukan pengaman Poland menggunakan kereta kebal dan kenderaan pengangkut anggota berperisai.
“Saya memanggil anggota Poland untuk turun dan mereka turun tidak menggunakan tangga, sebaliknya menggunakan tali.
“Saya hanya sempat menarik anggota Poland itu masuk ke dalam kubu sebelum tiba-tiba satu letupan kuat mengenai menara pemerhati dan menyebabkan menara itu runtuh,” katanya.
Mohd Yasin berlepas ke Bosnia-Herzegovina pada 21 September 1994 bersama 19 pegawai lain sebagai pemerhati PBB yang diketuai Leftenan Kolonel Jamil Mustafa.
Mereka menggantikan pasukan terdahulu dan berkhidmat di negara berkenaan selama kira-kira setahun.
Sebagai pemerhati, mereka tidak membawa senjata dan hanya berbekalkan beret serta jaket biru ketika menjalankan pemantauan bagi memastikan pihak yang bertelagah tidak bertempur.
Selain insiden kubu dibedil, Mohd Yasin pernah diacukan senjata oleh seorang lelaki tempatan ketika memantau konvoi tentera Serbia membawa empat kereta kebal ke kawasan pertempuran berhampiran Velika Kladusa.
Kenderaannya juga pernah ditembak pihak Serbia ketika beliau mengetuai pergerakan konvoi membawa bekalan makanan kepada pasukan pengaman Bangladesh di Bihac Pocket.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan, Mohd Yasin berharap pengalamannya menjadi iktibar supaya rakyat tidak mengambil mudah keamanan, sebaliknya terus mempertahankan perpaduan yang dinikmati negara.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Mohd Yasin Usop, Bosnia-Herzegovina, PBB, Hari Kebangsaan, keamanan, perpaduan, pegawai pemerhati PBB, Bihac Pocket, pasukan pengaman
