2,354 anggota polis kawal sambutan Hari Kebangsaan
2,354 anggota polis kawal sambutan Hari Kebangsaan
PUTRAJAYA: Seramai 2,354 pegawai dan anggota polis akan digerakkan bagi memastikan aspek keselamatan serta kelancaran Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, Isnin ini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Aidi Sham Mohamed berkata, penugasan membabitkan kawalan statik dan lalu lintas di beberapa lokasi strategik sekitar Dataran Putrajaya serta kawasan lain di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.
Menurutnya, polis menjangkakan kira-kira 80,000 pengunjung akan membanjiri Dataran Putrajaya bagi menyaksikan sambutan berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan tiba lebih awal bagi mengelakkan kesesakan selain mematuhi segala arahan pihak berkuasa.
“Untuk orang ramai saya nasihatkan mereka supaya datang awal ke Dataran Putrajaya dan patuhi segala peraturan pihak berkuasa termasuk jangan meletakkan kenderaan di tempat yang dilarang.
“Jangan menghalang lalu lintas dan pada masa sama, jaga keselamatan diri,” katanya ketika ditemui, Sabtu.
Aidi Sham berkata, pematuhan terhadap peraturan lalu lintas penting bagi memastikan pergerakan kenderaan dan orang ramai berjalan lancar sepanjang sambutan berlangsung.
Katanya, pengunjung juga diminta memastikan kenderaan tidak diletakkan di kawasan larangan atau lokasi yang boleh menghalang aliran trafik.
Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga dinasihatkan supaya sentiasa mengawasi anak-anak terutama ketika berada dalam kawasan yang sesak dengan pengunjung.
Orang ramai turut diingatkan supaya menjaga barangan peribadi masing-masing bagi mengelakkan kehilangan atau kejadian tidak diingini.
Selain itu, pengunjung dilarang membawa sebarang senjata atau barangan berbahaya ke kawasan sambutan bagi memastikan keselamatan semua pihak terjamin.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Hari Kebangsaan 2026, Dataran Putrajaya, polis, Aidi Sham Mohamed, keselamatan, trafik, 80,000 pengunjung, sambutan Merdeka
