Lebih 80,000 dijangka banjiri Dataran Putrajaya
Lebih 80,000 dijangka banjiri Dataran Putrajaya
PUTRAJAYA: Kehadiran orang ramai pada Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini dijangka mencecah lebih 80,000 pengunjung, malah berpotensi melebihi angka berkenaan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jangkaan itu mengambil kira sambutan pada dua tahun sebelumnya selain cuti sekolah serta kemudahan pengangkutan awam yang disediakan tahun ini.
Menurutnya, penyediaan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) selama 24 jam oleh Prasarana dijangka memudahkan orang ramai hadir ke lokasi sambutan.
“Kita pada tahun lalu dan tahun sebelumnya ada lebih kurang lebih daripada 80,000 orang yang hadir.
“Jadi kita jangkakan kemungkinan besar jumlah yang sama atau lebih daripada itu kerana tahun ini pihak Prasarana menyediakan kemudahan pengangkutan MRT selama 24 jam.
“Jadi ramai yang nak datang, ia akan memudahkan mereka untuk datang,” katanya.
Fahmi berkata, kemudahan pengangkutan awam itu antara faktor yang dijangka membantu melancarkan pergerakan pengunjung ke Dataran Putrajaya sepanjang sambutan berlangsung.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, tahap kesiapsiagaan rangkaian telekomunikasi turut dipertingkatkan bagi menampung jumlah pengunjung yang ramai pada 31 Ogos.
Katanya, berdasarkan pemantauan ketika sesi raptai penuh pada Sabtu, perkhidmatan rangkaian 4G dan 5G berada dalam keadaan baik.
Malah, tiada kesesakan rangkaian dikesan walaupun jumlah pengunjung yang hadir menyaksikan raptai berkenaan agak ramai.
Langkah itu penting bagi memastikan orang ramai dapat menggunakan perkhidmatan telekomunikasi dengan lancar sepanjang Sambutan Hari Kebangsaan di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan itu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Hari Kebangsaan 2026, Dataran Putrajaya, Fahmi Fadzil, 80,000 pengunjung, MRT 24 jam, Prasarana, 4G, 5G, sambutan Merdeka
