Wira Cilik APMM curi perhatian di Dataran Putrajaya
Wira Cilik APMM curi perhatian di Dataran Putrajaya
PUTRAJAYA: Gelagat tujuh Wira Cilik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang tampil segak dengan uniform pasukan mencuri perhatian pada raptai penuh terakhir Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Berusia antara lapan hingga 11 tahun, kesemua mereka mengenakan pakaian seragam yang mewakili pelbagai fungsi dan kepakaran anggota APMM termasuk penerbang, Action Rig, STAR Team dan Rescue Swimmer.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, penglibatan Wira Cilik bukan sekadar menceriakan perbarisan, malah menjadi pendekatan awal dalam menyemai semangat cintakan negara.
“Pada saya, kita membawa sendiri Wira Cilik ini untuk menyemai semangat menjaga keselamatan perairan dan juga kedaulatan negara kita sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.
Bagi Laskar Kelas I Maritim Mohamad Hazwan Lokman Baharom, penyertaan anaknya, Nafeesa Azzahra Mohamad Hazwan, sembilan tahun, cukup bermakna apabila minat terhadap APMM mula ditunjukkan sejak awal persekolahan.
Mohamad Hazwan yang bertugas sebagai kru udara helikopter AW189 sejak 14 tahun lalu berkata, beliau tidak teragak-agak menyokong hasrat anaknya menyertai perbarisan tahun ini termasuk menempah khas uniform penerbang bernilai kira-kira RM300.
Nafeesa pula mengakui memilih uniform penerbang kerana amat meminati bidang berkenaan selain berasa gementar dan teruja menyertai perbarisan.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Perhubungan Awam APMM, Lenny Aslinda Hassan berkata, minat anak bongsunya, Nur Fathiah serta anak saudaranya, Indah Kirana terhadap pakaian seragam mula dipupuk sejak prasekolah.
Katanya, penyertaan dalam aktiviti seumpama itu turut digalakkan bagi mengelakkan kanak-kanak terlalu terikat dengan skrin, telefon dan YouTube.
Tujuh Wira Cilik itu ialah Cinta Aurora Zulhafiq, 10, dan Nur Fathiah Rozman, 11, bagi unit Action Rig; Ahmad Beyazid Zulhafiq, lapan, Indah Kirana Mansor, 11, serta Nafeesa Azzahra sebagai penerbang.
Turut serta Perwira Karl Rezky Kamarul Azizi, 10, mewakili STAR Team dan adiknya, Perwira Karl Aisy Kamarul Azizi, lapan, sebagai Rescue Swimmer.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Wira Cilik APMM, Hari Kebangsaan 2026, Dataran Putrajaya, APMM, Mohd Zawawi Abdullah, Nafeesa Azzahra, perbarisan Merdeka, Maritim Malaysia
