Semangat ukhuwah meriahkan perarakan Maulidur Rasul Jengka 24
Semangat ukhuwah meriahkan perarakan Maulidur Rasul Jengka 24
JERANTUT: Kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul di FELDA Jengka 24, di sini, hari ini.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh semangat ukhuwah itu menghimpunkan komuniti peneroka bersama warga agensi, institusi pendidikan dan pertubuhan setempat sebagai tanda kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.
Ketua Peneroka FELDA Jengka 24, Razak Daud berkata, sambutan menggalakkan itu membuktikan hubungan erat yang terus terjalin dalam kalangan masyarakat di tanah rancangan berkenaan.
Menurutnya, perarakan itu disertai peneroka, kakitangan pengurusan FELDA, FGV, murid dan guru sekolah rendah serta menengah selain ketua blok dan Gerakan Persatuan Wanita (GPW).
Turut mengambil bahagian ialah ahli Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), KAF serta beberapa kumpulan dan pertubuhan komuniti setempat.

“Alhamdulillah, sambutan kali ini cukup meriah dengan penyertaan kira-kira 1,000 peserta yang bersama-sama berarak sempena Maulidur Rasul.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua peneroka, pengurusan FELDA, FGV, pihak sekolah rendah dan menengah, ketua blok, GPW, MBFM, KAF serta semua pihak yang memberikan kerjasama bagi menjayakan program ini,” katanya.
Razak berkata, penganjuran program keagamaan seperti itu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah menyatukan masyarakat serta menyemarakkan semangat persaudaraan dalam kalangan penduduk.
Katanya, penglibatan generasi muda khususnya murid sekolah juga penting bagi memberi pendedahan mengenai sirah, perjuangan dan akhlak Rasulullah SAW.
“Harapan kita supaya semangat kebersamaan ini terus dipertahankan. Sambutan Maulidur Rasul juga menjadi ruang untuk kita menghayati dan mencontohi sifat serta akhlak Rasulullah dalam kehidupan seharian.
“Apabila semua lapisan masyarakat turun bersama-sama, ia secara tidak langsung mengukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian warga FELDA Jengka 24,” katanya.

Beliau berharap kerjasama erat antara peneroka, pengurusan FELDA, agensi, sekolah dan pertubuhan masyarakat dapat diteruskan dalam pelbagai program kemasyarakatan pada masa akan datang.-SAHIH
#kw: FELDA Jengka 24, Maulidur Rasul, Razak Daud, peneroka, perarakan, FELDA, FGV, GPW, MBFM, komuniti
