Program Infaq Bubur Asyura Sasar Agihan Kepada 1,000 Asnaf di Kuala Krai
Program Infaq Bubur Asyura Sasar Agihan Kepada 1,000 Asnaf di Kuala Krai
KUALA KRAI – Mahabah Asnaf Society menyasarkan pengagihan bubur asyura kepada 1,000 penerima menerusi Program Infaq Bubur Asyura yang akan diadakan pada 3 Julai ini bersamaan 17 Muharam, sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan di daerah ini.
Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed, berkata program itu menghimpunkan masyarakat dalam semangat gotong-royong sambil menghidupkan amalan bersedekah dan berinfaq sempena bulan Muharam yang penuh keberkatan.
Menurutnya, sebanyak lima kawah bubur asyura akan disediakan sebelum diagihkan kepada golongan asnaf, ibu tunggal, anak yatim, mualaf dan pusat tahfiz.
“Program ini bukan sekadar menyediakan juadah, malah menjadi wadah untuk masyarakat bersama-sama berkongsi rezeki dan menyantuni mereka yang memerlukan.
“Kami berharap lebih ramai tampil menghulurkan sumbangan bagi memastikan sasaran menyediakan lima kawah bubur asyura dapat direalisasikan, sekali gus memberi manfaat kepada 1,000 penerima,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai boleh menyertai program itu dengan menyumbang RM10 bagi setiap pek bubur asyura bagi membantu menampung kos penyediaan bahan mentah dan proses pengagihan.
Katanya, setiap sumbangan yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan penyediaan serta agihan bubur asyura berjalan lancar mengikut perancangan.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat, malah menyemai nilai kasih sayang, keprihatinan dan semangat bekerjasama dalam membantu golongan yang kurang bernasib baik.
“Kami mengalu-alukan sumbangan daripada individu, syarikat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat bagi bersama-sama menjayakan program kebajikan ini,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam Mahabah Asnaf Society bernombor 03072010143853 atau melalui kod QR yang disediakan penganjur.


Menurutnya, setiap sumbangan yang diberikan diharap menjadi amal jariah berpanjangan di samping membawa kegembiraan kepada penerima, selaras dengan tema program, “Infaq Anda, Senyuman Mereka. Semoga Allah Melipatgandakan Pahala Kita Semua.”-SAHIH
