Portal Digital KOBESI Lonjak Transformasi Perkhidmatan Anggota
Portal Digital KOBESI Lonjak Transformasi Perkhidmatan Anggota
KUALA LUMPUR : Koperasi KOBESI Malaysia Berhad melakar sejarah baharu apabila melancarkan Portal KOBESI Malaysia Berhad sempena Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Ke-43 di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Bandar Tun Razak, hari ini.
Portal berkenaan dilancarkan Presiden Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah yang turut merasmikan MAT koperasi itu.
Abdul Fattah berkata, pelancaran portal berkenaan adalah langkah strategik dalam memperkukuhkan transformasi digital koperasi selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada anggota.
Menurutnya, portal itu bukan sekadar platform teknologi, malah menjadi simbol kesungguhan KOBESI dalam memenuhi keperluan anggota yang semakin menuntut akses kepada perkhidmatan yang lebih pantas, mudah dan telus.
“Portal ini dijangka menjadi pusat maklumat, medium komunikasi serta saluran interaksi yang lebih berkesan antara koperasi dan anggota.

“Ia juga selaras dengan Dasar Koperasi Malaysia serta agenda pendigitalan negara yang menekankan penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan organisasi,” katanya ketika berucap merasmikan MAT Ke-43 KOBESI.
Beliau berkata, MAT merupakan platform penting dalam amalan demokrasi ekonomi koperasi yang membolehkan anggota menilai prestasi organisasi, menyuarakan pandangan dan menentukan hala tuju masa depan koperasi.
Menurutnya, kekuatan model koperasi terletak pada keupayaannya mengimbangi keuntungan dengan kebajikan serta kesejahteraan anggota.
Beliau berkata, KOBESI yang terus memberi fokus kepada aktiviti pembiayaan kredit memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan kesejahteraan ekonomi anggota menerusi penyediaan kemudahan kewangan yang selamat, berpatutan dan beretika.
Sementara itu, Pengerusi KOBESI, Datuk Saharudin Zainal Abidin, berkata pelancaran portal berkenaan adalah sebahagian daripada usaha koperasi memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada anggota serta meningkatkan kecekapan pengurusan selaras perkembangan teknologi semasa.
Katanya, KOBESI akan terus komited memperkasakan aktiviti pembiayaan kredit sebagai teras utama perniagaan koperasi bagi memastikan manfaat yang lebih besar dapat dinikmati anggota.

Turut hadir Pengerusi ANGKASA Negeri Wilayah Persekutuan, Sharifah Aminah Syed Mohssain; Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Siti Aisyah Ismail; serta barisan Ahli Lembaga Koperasi KOBESI.-SAHIH
