Mayat pemancing ditemukan selepas dua hari hilang di Sungai Kobat
Mayat pemancing ditemukan selepas dua hari hilang di Sungai Kobat
KUANTAN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang dan disyaki lemas ketika menjalankan aktiviti menjaring ikan di Sungai Kobat, Jalan Sungai Lembing di sini, ditemukan meninggal dunia selepas lebih dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Mangsa, Muhammad Firdaus Zuharsema, 26, ditemukan oleh pasukan bomba kira-kira jam 2.30 pagi semalam, pada jarak lebih kurang 300 meter dari lokasi dia dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.23 pagi, Selasa lalu.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pasukan penyelamat dimaklumkan dua lelaki sedang menjalankan aktiviti menjaring ikan menggunakan bot sebelum seorang daripada mereka terjatuh ke dalam sungai dan dihanyutkan arus.
“Seorang lagi mangsa, Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24, berjaya menyelamatkan diri manakala Muhammad Firdaus disyaki lemas.
“Operasi SAR segera dilancarkan dengan menggunakan bot penyelamat bagi melakukan pencarian di permukaan air sebelum Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan Unit Pengesan K9 turut digerakkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi hari pertama melibatkan pencarian di kawasan mangsa dipercayai terjatuh selain rondaan menggunakan bot oleh bomba dan orang awam.
Katanya, operasi kemudian diteruskan pada hari kedua dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Amal, RELA serta penduduk setempat.
“Pasukan PPDA Kuantan turut melakukan dua selaman pada kedalaman kira-kira tujuh meter, manakala Unit K9 menjalankan beberapa pencarian di permukaan air sepanjang satu kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh.
“Walaupun operasi sempat ditangguhkan sementara akibat cuaca hujan dan keadaan sungai yang sukar, mangsa akhirnya berjaya ditemukan oleh pasukan bomba awal pagi tadi,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.-SAHIH
