Jemaah Malaysia lega kebakaran hotel sebelah tidak merebak
Jemaah Malaysia lega kebakaran hotel sebelah tidak merebak
MAKKAH: Seorang jemaah umrah dari Malaysia berdepan detik cemas apabila sebuah hotel yang terbakar di Jalan Ajyad di sini berada bersebelahan dengan hotel tempat dia menginap.
Razak Daud ,68,berkata, dia pada awalnya tidak mengetahui mengenai kejadian itu kerana berada di Masjidil Haram ketika kebakaran berlaku.
“Saya amat terkejut apabila dimaklumkan hotel yang terbakar itu sebenarnya terletak bersebelahan dengan hotel yang saya duduki.
“Ketika kejadian, saya berada di masjid berhampiran Kaabah untuk beribadah dan tidak mengetahui kebakaran berlaku,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai insiden berkenaan keesokan hari selepas pulang ke hotel sebaik selesai beriktikaf di Masjidil Haram.
“Saya hanya tahu mengenai kebakaran itu apabila kembali ke hotel selepas iktikaf. Memang tidak sangka hotel yang terbakar itu berada betul-betul di sebelah,” katanya.
Razak berkata, dia bersyukur kerana kebakaran berkenaan tidak merebak ke hotel tempat penginapannya selepas pihak bomba berjaya mengawal api dengan pantas.
“Alhamdulillah, kebakaran itu tidak melarat ke hotel kami kerana pihak bomba berjaya mengawal keadaan,” katanya.

Razak Daud, menunjukkan hotel yang terbakar kelmarin
Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan kira-kira 70 jemaah Malaysia yang menginap di hotel terbabit berada dalam keadaan selamat.
Dalam kenyataan, kementerian itu memaklumkan semua jemaah Malaysia berkenaan adalah di bawah pengurusan agensi pelancongan umrah dan sudah dikenal pasti serta berada dalam keadaan baik.
Insiden kebakaran yang membabitkan sebuah hotel di Jalan Ajyad itu turut tular di media sosial selepas rakaman video kejadian dikongsi orang ramai.-SAHIH
