100 anak yatim ceria pilih baju raya
100 anak yatim ceria pilih baju raya
KUANTAN: Seramai 100 anak yatim dari beberapa pusat jagaan di negeri ini menerima santunan Aidilfitri menerusi Program Santunan Syawal Bermakna 2026 yang berlangsung di Jakel Kuantan, di sini, semalam.
Program anjuran Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) dengan kerjasama Jakel Kuantan dan SIRIM Berhad serta diselaraskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang itu diserikan dengan keberangkatan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Pahang, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dan Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Pahang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
Turut berangkat Yang Hormat Mulia Tengku Puan Bendahara, Tengku Natasha Puteri Tengku Adnan.
Melalui program itu, anak yatim terbabit dibawa ke Jakel Kuantan bagi memilih sendiri pakaian raya sebagai persiapan menyambut Aidilfitri yang bakal tiba.
Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada anak-anak terbabit merasai pengalaman memilih pakaian raya dalam suasana ceria seperti kanak-kanak lain selain membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri.

Antara institusi yang terbabit ialah Pusat Jagaan Akademi YASA-MUIP, Kuantan; Pusat Jagaan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Baitul Mukmin, Kuantan; Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah, Kuantan; Rumah Penyayang Tun Abdul Razak, Pekan; serta Pertubuhan Kebajikan Rumah Anak Yatim dan Miskin Darul Salam Al-Mukhtar, Pekan.
Pengurus Besar Yayasan Al-Sultan Abdullah, Mohd Fakhrul Islam Juhali, berkata program itu sebahagian daripada usaha berterusan yayasan berkenaan dalam memperkukuh agenda kebajikan serta menyantuni golongan memerlukan.

Katanya, usaha itu juga bagi memastikan anak yatim turut merasai kemeriahan dan kegembiraan menyambut Aidilfitri dalam suasana penuh kasih sayang dan keprihatinan.
“Program ini bukan sahaja membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri, malah memberi peluang kepada anak-anak ini merasai pengalaman memilih sendiri pakaian raya dalam suasana ceria,” katanya.-SAHIH
