Guru tidak gemar merotan, hanya mahu mendidik – KONGRES
Guru tidak gemar merotan, hanya mahu mendidik – KONGRES
JERANTUT : Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) menzahirkan rasa dukacita terhadap persepsi negatif masyarakat terhadap guru yang mengambil tindakan disiplin, khususnya dalam isu merotan murid.

Mohamad Zapawi Mamat
Presidennya, Mohamad Zapawi Mamat, menegaskan bahawa guru tidak pernah gemar merotan, sebaliknya tindakan itu dilakukan atas dasar tanggungjawab dan kasih sayang bagi membentuk sahsiah pelajar.
“Setiap kali rotan diangkat, yang sebenarnya diangkat ialah tanggungjawab dan kasih sayang, bukan kemarahan, niat kami hanya satu iaitu untuk mendidik.
“KONGRES bimbang apabila semakin ramai guru kini enggan mengambil tindakan disiplin terhadap murid kerana khuatir disiasat atau dikenakan tindakan undang-undang serta dihadapkan ke mahkamah,”katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bersetuju dengan cadangan mengembalikan hukuman rotan di sekolah menunjukkan keprihatinan terhadap masalah disiplin yang semakin membimbangkan.
“Ramai guru kini memilih untuk berdiam diri walaupun pelanggaran disiplin semakin meningkat. Tanpa disiplin, tidak akan lahir pendidikan yang berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, KONGRES merayu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menilai semula dasar serta garis panduan disiplin pelajar, selain memperkukuh semula kuasa guru untuk mendidik dengan hikmah dan kebijaksanaan.
“Rotan bukan simbol kekerasan, sebaliknya lambang autoriti dan kasih sayang seorang guru terhadap anak bangsa. Guru bukan musuh pelajar, malah mereka banyak berkorban demi kejayaan anak-anak ini.
“KONGRES menegaskan, jika isu disiplin pelajar terus dipandang ringan, masa depan generasi akan terjejas dan peranan guru sebagai pendidik sejati akan semakin terhakis,” katanya.- SAHIH
