UPSI anjur pameran khas lukisan Allahyarham Muhammad Mustaqim
Foto : Galeri Seni UPSI yang menjadi lokasi pameran berkenaan.
UPSI anjur pameran khas lukisan Allahyarham Muhammad Mustaqim
TANJONG MALIM – Institut Peradaban Melayu (IPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan menganjurkan Pameran Khas Seni Visual menampilkan karya Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, mahasiswa berbakat Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) yang terkorban dalam tragedi kemalangan bas UPSI di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik pada 9 Jun lalu.
Pameran itu akan berlangsung dari 30 September hingga 31 Disember 2025 di Galeri Seni UPSI.

Prof Tajul Shuhaizam (lima dari kanan) bersama kakitangannya menerima lukisan daripada bapa Allahyarham, Rosde Yaakub.
Pengarah IPM, Prof. Dr. Tajul Shuhaizam Said berkata, ilham pameran ini tercetus hasil kunjungan hormat pihaknya ke kediaman keluarga Allahyarham di Kampung Telaga Nibong, Besut, Terengganu pada Julai lalu.
“Dalam kunjungan itu, sebanyak 68 karya seni Allahyarham diserahkan keluarganya untuk dibawa ke UPSI bagi tujuan konservasi dan pembingkaian sebelum dipamerkan,” katanya.
Menurut beliau, koleksi lukisan Allahyarham menampilkan keunikan estetika dan teknik, termasuk tema landskap langit dan laut yang dilakar dengan warna berani serta harmoni. Beberapa karya turut menampilkan figura manusia dan ilustrasi mata yang membawa naratif emosi mendalam, menggabungkan gaya realisme dan ekspresif.
Sebahagian karya Allahyarham akan dicetak semula secara terhad dan dilelong sepanjang pameran, dengan hasil jualan disalurkan kepada keluarganya sebagai tanda penghargaan warga UPSI.
“Keluarga Allahyarham amat menghargai kesudian pihak universiti menganjurkan pameran ini, yang bukan sahaja mengiktiraf bakatnya tetapi juga menjadi simbol kasih sayang, empati serta penghormatan terhadap warisan seni mahasiswa,” katanya.
Bapa Allahyarham, Rosde Yaakub, 58, berkata pameran itu diharap dapat menjadi wadah mengenang karya seni anaknya serta memberi inspirasi kepada generasi muda.
“Kami berharap pameran ini juga menjadi ruang untuk semua yang hadir mendoakan arwah, selain menguatkan semangat keluarga dalam menghadapi kehilangan ini,” katanya sambil berterima kasih atas komitmen UPSI memelihara legasi seni dan kemanusiaan pelajar.-SAHIH.