“Bila Jantung Terlalu Laju, Suami Tak Tidur Tiga Bulan”
“Bila Jantung Terlalu Laju, Suami Tak Tidur Tiga Bulan”
TEMERLOH – “Pernah tiga bulan dia langsung tak boleh tidur… jantung terlalu laju, rasa macam nak meletup.”
Itu pengalaman perit diceritakan Agus Lianti Zarkani, 38, mengenai keadaan suaminya, Muhamed Suhaimi Daharin, 54, yang kini terlantar akibat masalah jantung kronik dan amat memerlukan pacemaker bernilai RM80,000 bagi menyelamatkan nyawanya.
Menurut Agus, penyakit itu mula menyerang suaminya sejak berusia 28 tahun, namun sejak dua tahun kebelakangan ini, keadaannya semakin merosot dengan gejala jantung lemah, laju dan bengkak.
“Doktor di IJN cadangkan pasang pacemaker, tapi kami tak mampu. Sekarang nak bangun pun kena berhenti separuh jalan sebab sesak nafas,” katanya ketika ditemui Sahih di rumah mereka di Taman Tahar, Temerloh.
Selain masalah jantung, suaminya turut menghidap batu karang dalam hempedu, namun tidak boleh dibedah selagi belum mendapat kebenaran pakar jantung.
Agus yang bekerja di kedai makan hanya berpendapatan sekitar RM1,200 sebulan, manakala mereka menyewa rumah dengan kadar RM600 dan perlu membelanjakan lebih RM500 untuk ubat serta rawatan bulanan.
Pasangan itu mempunyai enam anak, tiga daripadanya masih bersekolah.
“Kadang-kadang anak kami yang baru lapan tahun pun jaga ayahnya bila saya keluar bekerja,” ujarnya.
Setakat ini, keluarga itu belum menerima bantuan rasmi dan mengharapkan ihsan orang ramai.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Hong Leong Bank 13101004469 atas nama Mohamed Suhaimi Daharin dan QR
QR MOHAMED SUHAIMI DAHARIN
Pengerusi Kome Cakna, Abdul Jamil Yaakob berkata, pihaknya akan bantu memanjangkan isu ini kepada agensi berkaitan agar bantuan sewajarnya dapat disalurkan.-SAHIH