Zaki Bijak Tamat Misi Solo Kayak 550KM Sempena 10 Tahun Cancer Fighter Malaysia
Zaki Bijak Tamat Misi Solo Kayak 550KM Sempena 10 Tahun Cancer Fighter Malaysia
PEKAN – Dengan semangat juang luar biasa sebagai bekas pesakit kanser, Mohd Zaki Yamani Azman, atau lebih dikenali sebagai Zaki Bijak, berjaya menamatkan misi solo mengayuh kayak sejauh kira-kira 550 kilometer dari Cameron Highlands ke Pekan, Pahang, pada Ahad lalu, 1 Jun.
Misi yang mengambil masa selama 10 hari itu dilaksanakan sempena ulang tahun ke-10 penubuhan Cancer Fighter Malaysia, sebagai simbol ketabahan dan harapan kepada semua pejuang serta bekas pesakit kanser di seluruh negara.
Menurut Zaki, misi yang bermula dari Kampung Semoi Baru mendapat sokongan padu daripada pelbagai agensi kerajaan dan pertubuhan semasa dua hari pertama perjalanan.
“Alhamdulillah, misi ini berjaya ditamatkan seperti yang dirancang. Saya amat menghargai kerjasama dan sokongan daripada PDRM, Bomba, JPAM, Pengakap Pahang, Majlis Daerah Kuala Lipis, Pejabat Tanah Kuala Lipis, Lipis Geopark dan Tourism Pahang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau turut berkongsi bahawa cabaran utama sepanjang misi itu termasuk keadaan cuaca tidak menentu, arus sungai yang deras serta keletihan fizikal. Namun, semua itu berjaya diatasi dengan semangat kental dan tekad yang tinggi.
“Saya pernah melawan penyakit yang jauh lebih berat. Misi ini saya lakukan bagi membuktikan bahawa kehidupan selepas kanser masih boleh cemerlang dan bermakna. Saya ingin menyampaikan mesej kepada semua pesakit – jangan pernah berputus asa,” ujarnya.
Sepanjang perjalanan, Zaki turut menyeru masyarakat agar lebih prihatin terhadap kesihatan diri serta terus memberi sokongan moral kepada mereka yang sedang berjuang melawan penyakit.
Beliau berharap misi ini dapat menjadi inspirasi dan contoh positif bahawa dengan semangat, disiplin dan keyakinan diri, segalanya tidak mustahil – termasuk untuk bangkit semula selepas mengharungi kanser.
Zaki yang juga pengasas Cancer Fighter Malaysia, menutup kenyataannya dengan mesej yang menjadi pegangan hidupnya:
“Kanser Bukan Tiket Untuk Mati.”-SAHIH