EAIC Perkasa Tindakan Tangani Persepsi Rasuah Sektor Perhutanan
EAIC Perkasa Tindakan Tangani Persepsi Rasuah Sektor Perhutanan
TEMERLOH – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) kini mempergiat usaha memperkukuh penguatkuasaan dan tadbir urus sektor perhutanan negara, selaras dengan langkah memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di peringkat antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Asliza Ali berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui lawatan kerja Sesi Libat Urus pasukan petugas khas CPI ke Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia serta Pejabat Hutan Daerah Temerloh dan Bera
Menurutnya, lawatan tersebut bertujuan mendapatkan maklumat berkaitan pengurusan Hutan Simpan Kekal (HSK) selepas tamat tempoh lesen pembalakan, selain meneliti penggunaan teknologi satelit dalam mengesan perubahan kawasan hutan serta keberkesanan pemantauan secara praktikal.
“Kita mahu tunjukkan kepada masyarakat dan pemerhati antarabangsa bahawa Malaysia mempunyai sistem pengurusan hutan yang baik dan terkawal.
“Selama ini, laporan CPI hanya bergantung kepada sumber dalam talian. Sekarang, kita turun padang bagi melihat dan menunjukkan sendiri situasi sebenar,” katanya.
Asliza menjelaskan bahawa isu pembalakan haram sering disalahertikan dan dibesar-besarkan oleh sesetengah pihak.
Berdasarkan statistik Jabatan Perhutanan, hanya 32 kes pembalakan haram direkodkan di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun 2024 melibatkan keluasan 100 hektar – bersamaan hanya 0.0017 peratus daripada lebih 5.7 juta hektar kawasan berhutan.
“Kita mahu jelaskan bahawa setiap lesen pembalakan dikeluarkan secara sah dan setiap kawasan yang ditebang akan ditanam semula.
Malah, kitaran penanaman semula ini telah memasuki fasa kedua sejak pelaksanaannya bermula pada tahun 1960-an,” ujarnya.
Dalam pada itu, sebanyak 368 tangkapan dilakukan tahun ini, termasuk 299 warga tempatan dan 69 bukan warganegara dari pelbagai negara seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh, dan United Kingdom.
Asliza berkata, EAIC telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk menerajui fokus kumpulan penguatkuasaan dalam pasukan petugas CPI yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu bagi memperkukuh integriti dan kecekapan penguatkuasaan undang-undang negara menjelang 2033.-SAHIH