Rakyat Diseru Aktif Jaga Kesihatan – Jelajah WOW KAS nak sihat, Tarik Perhatian
Rakyat Diseru Aktif Jaga Kesihatan – Jelajah WOW KAS nak sihat, Tarik Perhatian
JERANTUT – Masyarakat digesa untuk lebih peka terhadap gaya hidup sihat dan mengambil langkah proaktif menjaga kesihatan diri serta keluarga bagi mengelakkan risiko penyakit tidak berjangkit yang kian meningkat.
Seruan itu disampaikan oleh Datuk Rozilan Salleh, wakil kepada YB Harris Salleh Hamzah, Ahli Dewan Negeri (ADUN) lantikan Dewan Undangan Negeri Pahang ketika merasmikan Program Karnival Jelajah WOW KAS Nak Sihat anjuran Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut, hari ini .
Menurut beliau, pendekatan turun padang seperti karnival ini sangat berkesan dalam mendidik masyarakat luar bandar mengenai kepentingan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang dan saringan kesihatan berkala.
“Kita mahu rakyat bukan sahaja hidup lama, tetapi hidup dengan sihat. Penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan obesiti kini bukan lagi penyakit orang tua – ia sudah menyerang golongan muda,” katanya.
Program yang berlangsung meriah itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Razak Daud, Pengerusi Masjid Wilayah Jengka , serta tokoh-tokoh komuniti seperti Pegawai Kesihatan Daerah Jerantut Dr. Muhammad Shafiq Kuyahamu, Pengurus Felda Jengka 8, Khairol Sauqid dan Shahrin Othman , Pengerusi JPKK Jengka 8
Antara aktiviti menarik sepanjang karnival termasuk senamrobik perdana, pemeriksaan kesihatan percuma, ceramah pemakanan sihat, pameran interaktif dan kuiz kesihatan. Penduduk setempat tidak melepaskan peluang mendapatkan khidmat nasihat kesihatan terus daripada pakar perubatan.
Program sebegini mampu mengubah mentaliti masyarakat Felda untuk lebih cakna akan kesihatan diri.
“Ramai yang hadir dan buat saringan. Kita lihat kesedaran semakin meningkat dan ini perkembangan yang positif,” katanya.
Karnival Wow Kas nak sihat ini merupakan sebahagian daripada inisiatif berterusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjadikan penjagaan kesihatan sebagai budaya hidup rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.-SAHIH