Bersatu gesa SKMM gugur pertuduhan terhadap Shafiq Halim
Bersatu gesa SKMM gugur pertuduhan terhadap Shafiq Halim
KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menarik semula tindakan mengenakan kompaun RM10,000 terhadap pempengaruh media sosial, Mohamad Shafiq bin Abdul Halim.
Dalam kenyataan medianya hari ini, Ketua Biro Perundangan dan Perlembagaan BERSATU, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata, tindakan SKMM itu bukan sahaja tidak wajar malah bercanggah dengan prinsip kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Kami berpandangan bahawa kebebasan untuk mengutarakan pendapat dan melahirkan kebimbangan terhadap keputusan kerajaan bukanlah satu kesalahan jenayah.
“Tindakan terhadap Shafiq bukan sahaja melanggar prinsip keadilan, tetapi turut mencerminkan intimidasi dan tekanan kerajaan terhadap hak rakyat untuk bersuara secara sah,” katanya.
Shafiq sebelum ini memuat naik video di TikTok bertajuk “Aset Bumiputera: Menara KL Tergadai Raya Ke-2” yang membangkitkan persoalan berhubung pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur oleh sebuah syarikat yang dikatakan hanya memiliki 30 peratus ekuiti Bumiputera.
Khaliq berkata, video berkenaan hanya mempersoalkan tindakan kerajaan dan tidak langsung mengandungi unsur fitnah atau kenyataan berbaur kebencian.
Namun begitu, Shafiq tetap dikenakan kompaun bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas alasan membuat komunikasi yang “jelik melampau sifatnya”.
“Kandungan video Shafiq tidak langsung mengandungi sebarang elemen jelik, malah ia hanyalah pandangan seorang rakyat prihatin terhadap isu nasional,” tegas Khaliq.
Sehubungan itu, BERSATU mendesak SKMM menggugurkan pertuduhan tersebut dan memastikan prinsip kebebasan bersuara terus dipelihara.-SAHIH