Tragedi Sebelum Ramadan: Dua Rumah Hangus, Keluarga Hilang Tempat Berteduh
Tragedi Sebelum Ramadan: Dua Rumah Hangus, Keluarga Hilang Tempat Berteduh
JERANTUT – Ramadan yang bakal menjelang sepatutnya menjadi bulan penuh keberkatan, namun bagi dua keluarga di Felda Sungai Retang, ia bertukar menjadi mimpi ngeri apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran awal pagi 22 Januari.
Mangsa pertama, Zainuddin Md Radzi, 37, seorang mekanik alat elektrik, tidak dapat menahan sebak apabila kediamannya serta pelbagai peralatan pelanggan musnah dalam kejadian itu.
Menurutnya, rumah itu kosong ketika kejadian kerana dia dan keluarga bermalam di rumah ibu mertua di blok sama.
“Kami baru pulang dari Jerantut membeli kelengkapan sekolah anak dan tidak nampak sebarang tanda kebakaran. Tiba-tiba, sekitar jam 1.30 pagi, jiran memberitahu ada letupan sebelum api marak membakar rumah saya.
“Saya hanya mampu melihat segala-galanya musnah termasuk lebih 30 mesin basuh, peti ais dan pelbagai alat elektrik yang sedang dibaiki, dengan kerugian dianggarkan mencecah RM100,000,” katanya.
Sementara itu, mangsa kedua, Rohaya Roselan, 46, bersama anak tunggalnya terselamat selepas terhidu bau asap dari bilik utama sekitar jam 9 malam.
“Kami bergegas keluar tetapi tidak sempat selamatkan apa-apa. Sebuah Proton Aeroback turut terbakar bersama persiapan Ramadan dan keperluan sekolah anak,” katanya.
Suaminya, Amir Ali, 51, yang masih bekerja ketika kejadian, terkejut apabila pulang mendapati rumahnya musnah. Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM100,000.
Pengerusi Badan Masjid Gabungan Felda Wilayah Jengka, Razak Daud, melawat lokasi kejadian dan menyerahkan bantuan wang tunai hasil kutipan 37 masjid di wilayah itu.
“Kami juga bercadang menempatkan tabung khas di setiap masjid bagi menggalakkan lebih banyak sumbangan untuk mangsa bencana,” katanya.
Beliau turut menyeru badan korporat dan NGO tampil membantu keluarga yang kehilangan tempat berteduh menjelang Ramadan – SAHIH