Loceng gila berbunyi, murid bergegas keluar kelas
Foto : Seramai 98 murid, guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Lempor bergambar kenangan.
Loceng gila berbunyi, murid bergegas keluar kelas
KUALA KANGSAR – Seramai 98 murid, guru dan kakitangan Sekolah Kebangsaan Lempor bergegas keluar ke tempat selamat apabila mendengar loceng amaran yang berdering panjang menandakan berlaku kebakaran di sekolah itu, hari ini.
Semua murid keluar kelas sehelai sepinggang meninggalkan alat tulis dan beg masing-masing ke tempat yang sudah ditetapkan oleh pihak sekolah sebelum itu.
Guru Besar, Mohamad Arshad Mat Jelani
Guru Besar sekolah itu, Mohd Arshad Mat Jelani berkata, latihan kebakaran itu perlu dilakukan sekiranya berlaku kejadian kebakaran sebenar.
“Sebenarnya pihak sekolah sudah mengadakan taklimat dan latihan kepada semua murid, guru dan kakitangan seperti yang diarahkan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Prosedur standard itu memang diberi kepada semua sekolah di seluruh negara, bunyi loceng panjang yang juga digelar ‘loceng gila’ memberi isyarat kebakaran berlaku,” katanya, hari ini.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ramlah Osman berkata, latihan kebakaran di sekolah kerap diadakan dan murid perlu beredar dari kelas masing-masing dalam masa 10 minit.
“Kami bertuah, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kula Kangsar turut hadir memberi tunjuk cara menggunakan alat pemadam api selain ceramah keselamatan kebakaran.
“Murid dan guru diberi peluang menggunakan alat tersebut untuk memadam api dengan cara yang betul,” katanya.
Katanya, murid mematuhi arahan yang diberikan sebelum ini digunakan dalam latihan kebakaran kali ini.-SAHIH.