Riang Ria Raya di Kemasul
Riang Ria Raya di Kemasul
BENTONG – Kemeriahan Aidilfitri masih lagi hangat dengan sambutan rumah terbuka diteruskan di FELDA Kemasul, dekat Pelangai.
ADUN Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkongsi sambutan yang dihadirinya di Dewan Semai Bakti FELDA berkenaan, semalam.
“Raya kan sebulan.. kenapa tidak ye dak?,” katanya di laman sosial Facebook.
Amizar yang juga Exco Hal Ehwal FELDA, Usahawan dan Koperasi Pahang turut merakam ucapan terima kasih kepada warga FELDA Kemasul kerana sudi menjemputnya.
“Meriah dengan (kehadiran) orang ramai.. kanak-kanak pula dapat duit raya.
“Pelbagai jenis juadah disediakan,” katanya lagi.
Selesai menghadiri sambutan Aidilfitri di Kemasul, Amizar singgah di Kampung Bukit Gajah, dekat sini.
Dia menyantuni keluarga Allahyarham Mohamed Surin Busu yang baru meninggal dunia.
“Saya singgah ke rumah Allahyarham di Kampung Bukit Gajah, menziarahi keluarga dan waris.
“Ketika ini waris sedang menunggu jenazah dari Kelantan,” ujarnya sambil mendoakan urusan keluarga Allahyarham dipermudahkan.
Amizar seterusnya meluangkan masa menghadiri mesyuarat penyelarasan pasukan bomba sukarela (PBS) jagaan Balai Bomba dan Penyelamat Karak yang diadakan di PBS Simpang Pelangai.
“Mesyuarat turut dihadiri Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Karak.
“Bersama dalam mesyuarat adalah anggota PBS dari Telemong dan Manchis.
“Objektif utama mesyuarat adalah untuk membincangkan hala tuju dan fungsi setiap PBS di Pelangai dengan penyelarasan oleh Balai Bomba dan Penyelamat Karak,” katanya.
Dia berharap melalui pertemuan dan mesyuarat seumpama itu dapat memantapkan lagi pasukan PBS di Pelangai dalam memberi bantuan awal apabila berlaku insiden banjir kilat dan kebakaran.— SAHIH