Sibuk bukan alasan tidak balik kawasan
Sibuk bukan alasan tidak balik kawasan
BENTONG – Kesibukan sejak dilantik sebagai exco tidak menghalang Datuk Amizar Abu Adam daripada menyantuni penduduk di FELDA Kemasul, dekat sini.
Beliau mencuri peluang hujung minggu lalu untuk singgah di FELDA berkenaan dan bertemu dengan warga peneroka dan generasi kedua.
“Saya ronda ziarah peneroka dan anak peneroka FELDA Kemasul pagi tadi.
“Dalam kesempatan itu, saya ziarahi mereka yang uzur, pesakit terlantar dan penghidap sakit kronik.
“Sedikit sumbangan turut disampaikan kepada mereka dan berharap semua yang menghadapi masalah kesihatan akan segera diberi kesembuhan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Amizar yang juga anak jati FELDA Chemomoi menganggap peluang diberikan kepadanya sebagai wakil rakyat kawasan DUN Pelangai adalah satu amanah berat.
Namun katanya, kepercayaan diberikan pengundi menjadi pembakar semangat untuknya memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua penduduk di situ.
“Selepas dua hari di Pelangai, saya akan ke Lipis untuk dua program rasmi bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Kita jumpa lagi selepas ini warga Pelangai Kita,” katanya.– SAHIH