292 peneroka bersyukur terima geran tanah selepas 40 tahun menunggu
292 peneroka bersyukur terima geran tanah selepas 40 tahun menunggu
JERANTUT – Seramai 292 bersyukur dan gembira menerima Suratan Hakmilik Tanah Felda setelah menunggu 40 tahun yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, di Perkarangan Masjid Felda Jengka 24, semalam.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Negeri sudah melakukan yang terbaik untuk rakyat meliputi pelbagai bentuk pembangunan, inisiatif dan juga bantuan.
“Pemberian geran ini salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu meningkatkan taraf hidup dan hak pegangan tanah kepada peneroka.
“Sehingga kini seramai 40,861 daripada 43,126 peneroka Felda di Negeri Pahang telah pun menerima Suratan Hakmilik, bakinya akan diberi selepas semua isu teknikal berkaitan tanah selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis Penyampaian itu, Wan Rosdy turut menyampaikan Suratan Hakmilik Peneroka FELDA Jengka 24 kepada 292 peneroka yang melibatkan 14 Blok kawasan.
Katanya, diharapkan semua peneroka mempertahankan tanah masing-masing dan dijaga dengan baik.
“Selain itu, walaupun kerajaan negeri melakukan pelbagai usaha ke arah memajukan taraf hidup rakyat negeri ini, tetapi masih ada dalam kalangan rakyat yang terpengaruh dengan persepsi, fitnah dan tohmahan yang sengaja direka oleh sesetengah pihak untuk memburukkan dan menjatuhkan Kerajaan Negeri.
“Diharap rakyat negeri ini memberi kepercayaan kepada kepimpinan kerajaan negeri masa ini untuk terus menjana pembangunan dan meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, FELDA Jengka 24 telah dibuka pada tahun 1977 hingga 1978 dan kemasukan peneroka bermula pada tahun 1985 hingga 1986.
“Kami berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menyelesaikan penantian kami selama 40 tahun.
“Saya bagi pihak peneroka di sini berterima kasih kepada Menteri Besar, Pengerusi Felda, Datuk Sabri Chik, Pengarah Felda dan Pengurus Felda.
Beliau juga berterima kasih kepada semua agensi kerajaan termasuk Pejabat daerah dan Tanah Jerantut, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut, Tenaga Nasional Berhad dan Pengurusan Air Pahang Berhad.-SAHIH.