Pusat Hemodialisis YASA kelima dibuka di Jerantut
Foto atas : Al-Sultan Abdullah berkenan menyantuni pesakit, Rabiabi Mohd Ali ketika mencemar duli merasmikan Pusat Hemodialisis Kelima Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Taman Impian Permai, hari ini.
Pusat Hemodialisis YASA kelima dibuka di Jerantut
JERANTUT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) cawangan yang kelima di Taman Impian Permai, dekat sini, hari ini.
Selain di Jerantut, empat lagi pusat seumpama ini terletak di Taman Melati, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pekan, Setiawangsa dan Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Pusat hemodialisis YASA ditubuhkan bertujuan menyahut seruan dan membantu Kerajaan kerana pesakit yang memerlukan rawatan begitu ramai dengan jumlah kes baharu mencecah 8,000 kes setahun.
Pada tahun 2022, keempat-empat pusat hemodialisis YASAyang telah beroperasi telah menyediakan rawatan dialisis berjumlah 20,363 rawatan sebulan dengan peratusan penggunaan mesin di setiap pusat ialah antara 95 dan 100 peratus.
YASA turut kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sedang menyediakan pembukaan Pusat Hemodialisis YASA yang keenam di Bukit Jalil, Wilayah Persekutuan pada awal tahun depan.
Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah dan turut hadir sama Exco Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad dan Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Pusat Hemodialisis YASA Jerantut merupakan pusat hemodialisis yang kelima yang telah ditubuhkan oleh YASA yang beroperasi mulai hari Isnin hingga Sabtu, pada jam 7 pagi hingga 5 petang dengan 12 mesin dialysis.
Seri Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra dengan pesakit yang menjalani rawatan di pusat hemodialisis tersebut.
Seri Paduka turut berkenan menyaksikan penyerahan kunci ambulans pertama kepada YASA Ambulans yang dilengkapi dengan alat defibrillator dan ventilator bagi tujuan bantuan dan rawatan bagi kes-kes trauma dan kecemasan.
Operasi ambulans ini diketuai seorang doktor pemantau bersama dua orang pembantu perubatan dan tiga orang pemandu tetap.
Keprihatinan tinggi Seri Paduka Baginda terhadap pesakit-pesakit buah pinggang kronik dan juga keperluan perkhidmatan hemodialisis kepada mereka yang tidak berkemampuan, khususnya dari golongan M40 dan B40 dan kos rawatan pesakit ditaja sepenuhnya oleh YASA. Seri Paduka Baginda menyeru lebih ramai individu dan banyak lagi pihak swasta untuk tampil membantu golongan sasar ini mendapatkan rawatan hemodialisis menerusi tajaan dan subsidi rawatan.-SAHIH.