Bantuan berterusan untuk warga FELDA
Bantuan berterusan untuk warga FELDA
BENTONG – Warga FELDA akan terus menikmati semua bentuk bantuan jika memilih untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
Itu jaminan calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam.
Beliau berkata, warga FELDA terlalu dekat dengannya dan menjadi tanggungjawab untuk beliau terus menjaga kebajikan mereka.
“Lagipun saya juga asalnya dari FELDA dan memang FELDA itu sangat dekat dengan hati saya.
“Saya juga sudah lama terbabit dalam aktiviti berkaitan FELDA melalui NGO Kami Anak FELDA (KAF).
“Susah senang warga peneroka saya dapat rasai dan saya bertekad untuk terus memperjuangkan nasib warga FELDA jika diberi kepercayaan pada 7 Oktober ini,” katanya.
Amizar berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan pengunjung Pasar Sehari di FELDA Chemomoi, dekat sini, hari ini.
Beliau turut meminta pengundi menjadikan prestasi kerajaan Pahang diterajui Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai kayu ukur untuk membuat keputusan pada hari pengundian nanti.
Katanya, banyak pencapaian diperoleh kerajaan negeri hasil kebijaksanaan Wan Rosdy sejak memegang jawatan sebagai Menteri Besar Pahang.
“Pelbagai inisiatif dan bantuan disalurkan kepada rakyat dan ini semua dapat dilakukan apabila kerajaan negeri diuruskan dengan cemerlang oleh Datuk Seri Wan Rosdy.
“Saya harap semua ini dinilai oleh pengundi di Pelangai ketika membuat keputusan pada hari pengundian nanti,” katanya. – SAHIH