Ayah 54 tahun rogol anak bawah umur
Foto atas : Suspek dibawa oleh anggota polis untuk menjalani tuduhan dua kes rogol dan cabul di Mahkamah Sesyen Raub, Raub hari ini. – Foto IPD Lipis.
Ayah 54 tahun rogol anak bawah umur
LIPIS – Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis menahan seorang ayah berusia 54 tahun kerana melakukan jenayah cabul dan rogol ke atas anak perempuannya berusia 16 tahun 6 bulan di Kampung Peruang, Benta dekat sini.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, seorang wanita Melayu berusia 28 tahun yang juga kakak tiri mangsa berkenaan telah membuat aduan dan anggota BSJ telah melakuan tangkapan ke atas suspek pada 20 April lalu, pada jam 12.30 pagi.
“Hasil siasatan polis, suspek telah merogol anak kandungnya pada 17 Mac hingga 18 Mac lalu antara jam 10.30 malam hingga 12.30 pagi di sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Peruang.
“Suspek turut melakukan seks amang ke atas mangsa yang juga remaja di bawah umur 18 tahun dengan mencabulnya pada 17 Mac lalu, kira-kira jam 7 pagi di tempat yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, menerusi siasatan, remaja tersebut mengaku dia telah menjadi mangsa perbuatan gangguan seksual oleh suspek yang juga bapanya sejak berusia 10 tahun lagi serta mula dirogol sejak berusia 15 tahun.
“Ketika serbuan dan menahan suspek yang bekerja sebagai penoreh getah itu, pihak polis turut merampas sehelai kain cadar tilam, kain selimut dan sarung bantal.
“Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 376 (3) Akta Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol anak kandung.
Katanya, sekiranya sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dalam tempoh tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun, juga tidak kurang 10 kali sebatan,” katanya.
Katanya, suspek juga akan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 kerana melakukan seks amang ke atas kanak-kanak yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan juga sebatan.
“Kini, suspek ditahan reman selama 10 hari sejak dia ditahan sehingga 29 April 2023 dan menjalani tuduhan berasaskan kedua-dua kes tersebut di Mahkamah Sesyen Raub pada 28 April 2023.
“Suspek tidak mengaku salah dan ditawarkan jaminan mahkamah sebanyak RM20,000 bagi kedua pertuduhan tersebut dan tarikh sebutan kes seterusnya pada 29 Mei ini,” katanya.
Katanya, orang awam diminta tampil melaporkan sebarang kejadian jenayah di tempat masing-masing atau dalam kalangan ahli keluarga sendiri untuk membantu polis mengambil tindakan tegas berasaskan undang-undang tertentu.-SAHIH.