Pemilik bengkel di Jerantut rugi RM47,833 diperdaya beli kereta import tak wujud
Pemilik bengkel di Jerantut rugi RM47,833 diperdaya beli kereta import tak wujud
KUANTAN: Seorang pemilik bengkel di Jerantut kerugian RM47,833 selepas terpedaya dengan tawaran pembelian kereta import tidak wujud di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata berdasarkan laporan, lelaki berusia 57 tahun itu berminat dengan iklan penjualan kenderaan import di laman sosial terbabit pada 9 Februari lalu.
Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan suspek dan berurusan untuk membeli kenderaan jenis Toyota Hilux Black Rally Edition pada harga ditawarkan RM36,000 secara ansuran.
“Mangsa membuat pembayaran deposit dan cukai kastam sehingga lima transaksi ke tiga akaun bank berbeza dalam tempoh sebulan dengan menggunakan wang simpanannya yang berjumlah RM47,833.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, Ramli menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran murah dilakukan pihak tertentu untuk memperdaya mangsa.
“Masyarakat juga diingatkan membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.
Sumber : Berita Harian.