20 pegawai perubatan HTJS santuni warga emas di PJNH
Foto atas : Mohiadin Bahado dan Dr Mohd Syazmin Zuwairy Mohd Sharial (duduk kiri) merakam kenangan bersama-sama warga emas, pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan Negeri Sembilan dan unit terapi cara kerja pada Program Komuniti Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia di Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, Selangor, baru-baru ini.
20 pegawai perubatan HTJS santuni warga emas di PJNH
SEREMBAN – Dua puluh pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan Negeri Sembilan dan unit terapi cara kerja Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) turun padang ke program komuniti di Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor, , baru-baru ini.
Ketua Bidang Negeri Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan Negeri Sembilan, Norizawati Zainol, berkata pembabitan mereka dalam program itu juga bersempena Hari Kerja Sosial Sedunia yang disambut setiap tahun, antara lain sebagai menghargai sumbangan dan jasa mereka.
Katanya, kesinambungan daripada melakukan kerja sosial di hospital pegawai terbabit dibawa keluar dengan mengunjungi pusat jagaan seperti PJNH untuk turut berasa pengalaman petugas yang setiap hari sabar menyantuni warga emas dengan pelbagai karenah.
“Pendedahan sebegini amat penting dipelajari dalam mengenali sifat serta kelakuan warga emas yang tiada waris, disisih keluarga serta menghadapi bermacam-macam tekanan perasaan dan perlu ditangani dengan baik.
“Di samping bergotong-royong melakukan kerja pembersihan dan sebagainya itu, kesempatan mendampingi warga emas dengan bertanya khabar serta melayani luahan perasaan mereka akan membawa kelegaan kepada penghuni ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Komuniti Sambutan Hari Kerja Sosial Sedunia, Pegawai Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan, Negeri Sembilan (PKSP N9) anjuran PKSP N9 dengan Kerjasama Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di PJNH.
Katanya, pegawai terbabit juga berpeluang membuat penilaian dari segi teori dan pratikal berdasarkan pengetahuan serta pengalaman yang sudah dimiliki untuk menghasilkan suatu perkhidmatan terbaik sebagai pegawai perkhidmatan kerja sosial perubatan.
Program itu dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Perubatan 2, HTJS, Dr Mohd Syazmin Zuwairy Mohd Sharial. Turut hadir Pengerusi PJNH, Mohiadin Bahado; Pengerusi Pusat Jagaan Insan, Mohd Syafiq Mohiadin; Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Warga Emas Langkasuka, Kubang Pasu (Pewaris), Kedah, Azmi Mat Napiah; dan Pegawai Media Pewaris, Azhar Mohd.
Pada program berkenaan yang juga bersempena menyambut Ramadan, Pewaris menyumbangkan 100 pek beras pulut untuk diagihkan kepada tiga pusat jagaan iaitu PJNH, Mahmudah Malaysia dan Insan manakala pegawai kerja sosial melakukan tugasan gotong-royong menukar cadar baharu tilam warga emas, membersih surau dan persekitaraan PJHN.
Dr Mohd Syazmi menasihatkan warga emas supaya jangan terlalu melayani emosi apabila berasa amat sedih disisih ahli keluarga atau tiada waris sebagai tempat mengadu serta menumpang kasih.
“Dalam usia yang lanjut dan menghidap pelbagai penyakit seharusnya tetap ceria serta bersemangat kerana petugas PJNH sentiasa menyantuni mereka dengan baik ibarat anak melayani seorang ayah sebagai satu ibadah kerana Allah.
“Kita pertingkat amalan harian kerana PJNH menyediakan ustaz yang bersedia memberi bimbingan di samping berdoa bagi kesejahteraan ahli keluarga serta anak semoga Allah membuka pintu hati mereka untuk datang menziarah,”katanya.-SAHIH.