Hadiah teragung Tunku Permaisuri
Hadiah teragung Tunku Permaisuri
Masjid Kampung Baru, dekat Bentong yang siap dan mula digunakan awal tahun 2020 kini dikenali dengan nama Masjid Tunku Azizah Iskandar.
Pertukaran nama masjid itu diperkenankan oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam satu majlis di perkarangan masjid itu, petang tadi.
Turut hadir Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tunku Azizah dalam titahnya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sudi menamakan masjid itu sempena nama baginda.
Baginda turut berharap masjid itu dapat diimarahkan sebaik mungkin oleh penduduk di kawasan berkenaan.
Tunku Azizah turut berkenan menunaikan solat terawih di masjid itu selepas majlis berbuka puasa bersama penduduk kampung.
Terdahulu pada majlis sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun dalam ucapannya memberitahu, sebanyak 15 masjid dibina di Pahang sejak lima tahun lalu membabitkan peruntukan RM58.4 juta.
“Selain itu, sebanyak 16 lagi masjid dalam proses pembinaan dengan peruntukan RM47.1 juta dan 17 lagi akan dibina dengan peruntukan RM80 juta,” katanya.
Masjid itu sudah mula digunakan pada awal tahun 2020 dan boleh memuatkan 1,100 jemaah pada satu-satu masa.
tamat-SAHIH.