3,813 suri rumah di Pahang telah mendaftar di bawah SKSSR
Foto atas: Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan menyerahkan sumbangan SKSSR kepada suami Allahyarhamah, Bakar Hussin yang meninggal dunia pada bulan Disember lalu di kediaman mereka di Kampung Permatang Chengkeroh, Merchong, hari ini.
3,813 suri rumah di Pahang telah mendaftar di bawah SKSSR
KUANTAN : Seramai 3,813 suri rumah di Pahang telah mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSRR) PERKESO sehingga 15 Februari 2023.
SKSSR memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan dan turut menawarkan faedah di bawah Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Keilatan.
Skim ini termasuk memberi Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Keuzuran, Faedah Pengurusan Mayat dan Pencen Penakat.
Pengarah Perkeso Negeri Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, SKSSR merupakan sebuah perlindungan sosial yang diwujudkan bermula 1 Disember 2022 bagi melindungi golongan suri rumah daripada apa-apa kejadian termasuklah bencana domestik dan keilatan.
“Di bawah SKSSR, suami dan anak Suri Rumah Berinsurans (SRB) layak menerima Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 dan bayaran berkala Pencen Penakat sebanyak RM300 sebulan mengikut kelayakan syer orang tanggungan.
“Sebagai menyokong perlaksanaan skim ini, kerajaan telah memperuntukkan RM20 juta untuk menaja perlindungan SKSSR kepada suri rumah yang berdaftar dengan pangkalan data e-Kasih dan mencarum dengan i-Suri KWSP,” katanya melalui kenyataan media, hari ini.
Katanya, skim ini terbuka kepada wanita warga tempatan dan pemastautin tetap berusia kurang 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, berkahwin atau bujang.
“Turut terbuka kepada seorang isteri, janda atau balu yang perkahwinannya berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis, atau seorang ibu yang mempunyai seorang anak atau lebih termasuk ibu tunggal
“Caruman sebanyak RM120 sebulan yang perlu dibayar terlebih dahulu (in advance) bagi tempoh 12 bulan berturut-turut. Caruman boleh dibuat oleh suami, suri rumah, ahli keluarga atau mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah tersebut,”: katanya.
Tarmizi menjelaskan, ini adalah serahan pertama kali melalui pengurusan jenazah kerana allahyarhamah merupakan SRB melalui geran Kerajaan di bawah program e-Kasih.
“Setakat ini, sejumlah 135,907 data telah diperoleh dan diproses dengan rujuk data tersebut bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mendapati bahawa terdapat sejumlah 24 individu seluruh negara yang tersenarai di dalam kategori di atas telah meninggal dunia antara tarikh 1 hingga 25 Disember 2022.
“Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Hamzi Hanifa di talian, 012 – 611 3454 atau Nur Farhana, 019 – 2566157,” katanya.