Banjir lumpur landa Bukit Tinggi, Janda Baik, Bentong
Foto atas tangkap layar : Kejadian banjir lumpur di Bukit Tinggi, petang ini.
Banjir lumpur landa Bukit Tinggi, Janda Baik, Bentong
BENTONG : Beberapa penempatan di Bukit Tinggi dan Janda Baik di Pahang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat berterusan, petang tadi.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, pejabatnya menerima makluman mengenai kejadian banjir di kawasan tersebut.
“Saya dan Adun Ketari, Thomas Su, kini dalam perjalanan ke kawasan. Menurut maklumat OCS (Ketua Balai Polis Bukit Tinggi) air sudah semakin perlahan namun dinasihatkan agar berjaga-jaga,” katanya dalam Facebook hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bentong, Lt (PA) Azizah Husain berkata, Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah bergegas ke tempat kejadian setelah menerima panggilan untuk mengambil maklumat.
Katanya, kejadian ‘kepala air’ itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat yang melanda Kampung Bukit Tinggi dan Kampung Janda Baik, dekat sini pada jam 6.30 petang, hari ini.
“Lima belas permis perniagaan yang terlibat dan 5 buah rumah terbabit, bantuan untuk pembersihan sedang dilakukan.
“Jalan laluan lama Bentong-Kuala Lumpur telah terputus hubungan di FT68 Seksyen 43.4, selepas laluan naik ke Janda Baik dan laluan itu ditutup kepada semua kenderaan,,” lapornya.-SAHIH.