Lelaki dipercayai kurang siuman terjun sungai dari Jambatan Tanjung Lumpur
Lelaki dipercayai kurang siuman terjun sungai dari Jambatan Tanjung Lumpur
KUANTAN – Seorang lelaki yang berada di tengah jambatan dikhuatiri lemas setelah terjun daripada Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan pada jam 5.10 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, bertindak atas maklumat kira-kira 5.45 petang, sepasukan anggota Task Force Balai Polis Kuantan telah pergi ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan awal.
Katanya, seorang saksi awam, Wan Mohd Farid Wan Ramli (38 tahun) yang sedang melalui jambatan itu dari bandar Kuantan telah melihat seorang lelaki kaum Cina berbaju kemeja T warna ungu dan berseluar panjang warna gelap sedang memanjat pagar jambatan itu.
“Saksi berkata, dia melihat dari cermin sisi keretanya, lelaki yang memanjat pagar jambatan itu telah terjun ke dalam sungai dan dia terus menghubungi MERS 999.
“Seorang lagi saksi, Muhammad Amerul Hakeem (21), dia dan 5 orang rakannya sedang memancing di bawah jambatan itu, telah terdengar dan melihat seorang lelaki jatuh dan terkapai-kapai lalu tenggelam ke dalam sungai,” katanya melalui kenyataan pagi ini.
Katanya, turut berada di tempat kejadian anggota ronda Ktn 145, Ktn 146 dan Unit Ronda bermotor (URB) 10 bagi menjalankan kawalan tempat kejadian.
“Lelaki itu dipercayai kurang siuman, pencarian awal dilakukan oleh anggota polis dari atas jambatan dan kawasan sekitar yang turut dibantu oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) seramai 8 orang dan sebuah jentera.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan mangsa yang dipercayai telah terjun dari jambatan itu. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan,” katanya.-SAHIH.