Penduduk pesisir Sungai Tembeling dinasihatkan siap sedia dengan banjir
Foto atas : Seorang penduduk sedang merakamkan gambar air Sungai Tembeling yang mula melimpah masuk di dataran perniagaan Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut malam ini. – Foto : Ihsan Penduduk Kampung Banatal.
Penduduk pesisir Sungai Tembeling dinasihatkan siap sedia dengan banjir
JERANTUT – Orang ramai khususnya yang tinggal di pesisir Sungai Tembeling dan Sungai Pahang diingatkan bersiap sedia dan berhati-hati kerana tanda awal bakal berlaku banjir akibat hujan lebat berterusan berlaku.
Air Sungai Tembeling telah melimpah masuk ke dataran perniagaan dan jeti di Kampung Bantal, pedalaman Ulu Tembeling telah berlaku kira-kira jam 10 malam tadi.
Limpahan air Sungai Tembeling mula masuk ke kawasan kedai kopi, jeti bot penambang dan beberapa buah kediaman pesisir sungai tersebut mulai dimasuki air dan siren amaran telah berbunyi.
Hujan lebat sejak tiga hari lalu di kawasan pedalaman ulu menyebabkan kenaikan paras air dua batang sungai utama, iaitu Sungai Tembeling dan Sungai Sepia di kawasan pedalaman Ulu Tembeling.
Berasaskan laporan di laman sosial Facebook Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijangka berterusan di Pahang membabitkan kawasan pedalaman termasuk Jerantut antara terkesan sejak semalam.
Penduduk Kampung Bantal Seberang, Jamizan Rashid, 44, berkata, fenomena berkenaan kerap berlaku apabila hujan lebat di ulu sungai pada penghujung dan awal tahun.
“Air mula memenuhi dataran kampung ini meliputi pondok menunggu bot penambang berdekatan jeti, kedai kopi dan laluan simen ke kawasan rumah berdekatan.
“Walau bagaimanapun, kami tidak panik kerana sudah tahu air akan melimpah memandangkan pada petang semalam paras air Sungai Tembeling mulai meningkat naik di tangga jeti bot kampung ini,” katanya.-SAHIH.