Pahang bakal buka ladang lembu wagyu kedua di Lipis
Pahang bakal buka ladang lembu wagyu kedua di Lipis
Foto atas : Lembu wagyu (gambar hiasan)
LIPIS – Kerajaan Pahang bakal membuka pusat ternakan lembu baka wagyu kedua di daerah ini selepas pusat ternakan pertama di Raub bagi membekalkan daging jenis ini untuk permintaan di masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak berkata, kawasan pusat tersebut telah dikenalpasti seluas kira-kira 120 hektar bagi menampung keperluan bekalan daging lembu di daerah Lipis.
“Penternakan lembu wagyu ini bakal menggunakan teknologi dan kaedah yang digunapakai dari negara Jerman setelah melihat potensi pasaran daging ini, kita berhasrat mempelajari teknik penternakan untuk memelihara lembu ini.
“Kita bakal berkerjasama dengan pihak di Jerman untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu bermutu tinggi di samping mewujudkan Pertubuhan Lembu Wagyu seperti pertubuhan yang ada di negara itu ,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Menyuarat Agung Tahunan Kali ke-45, Pertubuhan Peladang Kawasan Benta 2022, di dewan Balora, Benta, hari ini.
Katanya, dalam rangka lawatan teknikal di beberapa tempat di Jerman mendapati bagaimana mereka mengunakan sistem memperkasakan agro makanan.
“Semua jenis baka lembu ini diternak dengan sangat rapi sehinggakan penggembala perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan demi mendapatkan kualiti daging wagyu yang terbaik.
“Oleh itu sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman telah berminat untuk berkerjasama menjayakan projek ternakan lembu baka ini di daerah Lipis.
Katanya, idea penternakan lembu wagyu ini setelah melihat penternakan lembu wagyu di Raub berjaya dengan persekitaran, cuaca dan suhu yang sama dan sesuai serta daging lembu itu yang boleh dijadikan menu pelbagai hidangan.-SAHIH.