Penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah sambut hari raya selepas dua tahun berkurung
Foto atas : Pengerusi Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi (empat dari kanan) bersama-sama anak yatim dari Rumah Anak Yatim Nur Shahirah dan Peribadi Mulia yang diraikan pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, Pusat Jagaan Al-Fikrah baru-baru ini.
Penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah sambut hari raya selepas dua tahun berkurung
KAJANG – Terpancar pada wajah penghuni Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, di Kampung Sungai Sekamat, Kajang, Selangor, apabila disantuni kakitangan pusat berkenaan dan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.
Majlis itu juga suatu bermakna apabila 70 warga emas yang menghuni pusat berkenaan terpaksa berkurung tanpa sebarang aktiviti terutama membabitkan kunjungan orang luar lebih dua tahun berikutan pandemik Covid-19 yang melanda Negara.
Pengerusinya, Nurul Atikah Mohd Azmi, berkata matlamat utama majlis itu adalah untuk menggembirakan hati warga emas terbabit yang rata-ratanya uzur dan menghidap pelbagai penyakit untuk berasa seronok menyambut Aidilfitri dan melupakan seketika kesedihan.
Menurutnya, kesempatan majlis itu juga bagi menguar-uarkan mengenai kewujudan pusat jagaan berkenaan yang masih beroperasi seperti biasa untuk menyantuni dan menjaga warga emas yang disisih keluarga bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Tambahnya, selepas pengasas pusat itu arwah bapa beliau, Mohd Azmi Md Zain meninggal dunia pada Ogos 2021 lalu ramai yang mengatakan Al-Fikrah ditutup, tetapi berita tidak benar sama sekali kerana ia terus beroperasi macam biasa sehingga sekarang dengan mendapat sokongan dan galakan daripada rakan-rakan arwah bapanya.
“Pada majlis ini kami turut mengundang waris warga emas yang masih ada untuk hadir bersama-sama tetamu jemputan dan orang ramai bagi menyantuni penghuni yang sekian lama hidup sendirian dan turut terkesan apabila pelawat tidak dibenarkan hadir sepanjang pandemik Covid-19 kecuali untuk menghulurkan sumbangan.
“Saya sendiri tidak dapat menahan rasa sayu apabila melihat warga emas ini yang diibaratkan sebagai ayahanda serta bonda begitu gembira menerima kunjungan orang ramai apabila dapat menjamu juadah disediakan bersama-sama,” katanya.
Nurul Atikah berkata, majlis rumah terbuka itu didahulukan dengan bacaan tahlil untuk arwah bapa beliau dan juga penghuni yang sudah meninggal dunia sebelum warga emas terbabit dihiburkan bersama-sama kakitangan Al-Fikrah dan tetamu jemputan.
“Pada majlis ini juga kami turut menyantuni anak yatim dari dua rumah anak yatim iaitu Nur Shahirah dan Peribadi Mulia selain dikunjungi Kaunselor Berdaftar, Dr Faridah Kastawi yang banyak memberi sokongan dan nasihat.
“Kunjungan ramai tetamu pada majlis ini khusus penyumbang yang banyak menginfak dan kawan arwah bapa memberikan suntikan semangat untuk saya meneruskan legasi menguruskan Al-Fikrah dengan mendapat kerjasama daripada semua kakitangan dan ahli keluarga,” katanya.-SAHIH.