Harga juadah bazar Ramadan kekal
Harga juadah bazar Ramadan kekal
JERANTUT – Bazar Ramadan Jerantut kekal harga juadah dan tidak menimbulkan rungutan kerana harga makanan tersebut masih lagi harga berpatutan selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika berbelanja.
Harga kuih-muih dan lauk-pauk yang dijual di bazar Ramadan pada umat Islam masih kekal dengan harga lama dan berpatutan serta tidak ada kenaikan dan harga masih sama seperti hari biasa di bazar di bandar Jerantut dan kawasan Felda di sini.
Hari pertama berpuasa, kebanyakan peniaga bazar Ramadan di bandar Jerantut cuma menumpukan jualan lauk-pauk seperti masakan sayur-mayur, asam tempoyak ikan sungai , pais ikan, asam rong, gulai ayam dan daging.
Tinjauan di bandar ini semalam, cuma sebilangan kecil peniaga kuih-muih sahaja yang menjadi tumpuan pelanggan ketika operasi jualan bermula pukul 3 petang pada bulan Ramadan.
Peniaga yang menjual pelbagai jenis kuih-muih untuk juadah berbuka diletakkan di dalam bekas plastik dan tidak terdedah dan dijual pada harga antara RM3 hingga RM4 dengan bilangan antara empat hingga enam butir atau potong.
Bagi jualan makanan lain seperti bubur pisang, bubur kacang, bubur ubi, tikam lompat dan sira dicampur tepung dan sebagainya dijual antara RM4 hingga RM5 juga tidak membebankan pengguna berasaskan saiz dan kuantiti makanan itu.
Peniaga bazar Ramadan, Sue Baharom, 40, berkata, dia menjual kuih yang diisi dalam bekas plastik kerana lebih mudah dibawa dan jaminan kebersihan apabila tidak terdedah berbanding tahun-tahun berniaga di bazar Ramadan sebelum ini.
“Walaupun ada kenaikan harga barang tertentu, tetapi saya masih mengekalkan harga antara RM3 hingga RM4 sebekas yang sepadan dengan nilai belanja daripada semua peringkat pelanggan.
“Pelanggan tidak pernah merungut kerana mereka kerap berbelanja pada hari biasa sebelum bulan Ramadan kerana harga yang sama dan berpuas hati dengan kualiti dan kuantiti makanan ini,” katanya.
Berlainan pula, sebilangan peniaga kuih di gerai Ramadan di Felda Kota Gelanggi Dua dekat sini menjual kuih lebih murah, iaitu sebekas yang mengandungi lima biji atau potong dijual dengan harga RM2.
Peniaga kuih, Fauziah Abdullah, 40, berkata, dia menjual kuih berasaskan tepung, pisang, pulut dan ubi ketika mula berniaga hari pertama Ramadan dengan jualan sebekas mengandungi lima biji atau potong berharga RM2.
“Jualan di bulan Ramadan sama seperti hari biasa sebelum ini dan kebanyakan pelanggan di Felda ini sudah sinonim dengan makanan ini malah selesa berbelanja dengan harga ini.
“Bahan seperti ubi dan pisang untuk membuat kuih memang mudah diperoleh di Felda ini cuma saya perlu menyediakan tepung, gula dan minyak masak sahaja dan walaupun diuar-uarkan ada kenaikan harga barang tertentu, tetapi saya tetap menjual dengan harga yang murah,” katanya.-SAHIH.